Tuesday 24 February 2015

Nora Danish takut tinggalkan rumah?

Nora Danish

SEBAIK‎ tersebarnya video ancaman serangan mahkamah pada 18 Februari lalu dengan mengeksploitasi wajah pelakon tempatan, Nora Danish, ibu kepada Putera Rayqal Rizal Ashram ini mengakui berasa takut untuk keluar rumah.

Nora, 32 berkata, sejak penyebaran video tersebut berlaku, dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah dan hanya akan keluar ditemani oleh ahli keluarga atau pun teman rapatnya.sekiranya terdapat sebarang urusan penting di luar.

“Kes itu memang menakutkan sehingga saya berasa takut untuk keluar rumah dan sekiranya perlu berbuat demikian saya akan pastikan ada orang menemani saya.

“Atas sebab itu juga saya buat laporan polis tempoh hari kerana bimbangkan keselamatan diri saya,” katanya seperti yang dipetik menerusi sebuah portal hari ini.

Nora yang ditemui pada acara Anugerah Meletop Era 2015 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada malam Ahad lalu dikatakan ditemani oleh beberapa pengawal yang disediakan oleh pihak Astro untuk mengiringinya masuk ke dalam dewan.

Sebuah video berdurasi kira-kira seminit memaparkan empat lelaki berbaju hitam yang mendakwa sebagai kumpulan Anak Muda Malaysia dan menutup muka mengancam untuk menyerang mahkamah pada 18 Februari pada pukul 11.30 malam.

Sambil memegang sekeping foto Nora, mereka turut mendakwa akan membakar bunga api sebagai bantahan terhadap sistem keadilan negara.

Sementara itu, berhubung perkembangan kes berkenaan, Nora menjelaskan, dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.

Katanya, dia kini lega apabila mendapat tahu penahanan terhadap beberapa individu berhubung penyebaran video tersebut sudah dibuat oleh pihak berkuasa baru-baru ini.

“Paling penting saya sudah membuat laporan polis dan setakat ini tiada perkembangan baharu yang saya dengar melainkan ada membaca laporan pihak berkuasa ada menahan beberapa individu yang dipercayai menyebarkan video berkenaan di internet.

“Selebihnya saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan memandangkan ia bukan satu isu yang kecil,” katanya lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment