Wednesday 11 February 2015

Sepatutnya Anwar Ibrahim 'kena' penjara 11 tahun - Syed Ali

Syed Ali memberi amaran kepada penyokong tegar Anwar agar tidak melakukan tindakan bodoh yang boleh menjejaskan keselamatan awam. - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Orang ramai terutama penyokong tegar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta menerima hakikat keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapatinya bersalah dan dihukum penjara selama lima tahun.

Bagaimanapun, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee merasakan tempoh lima tahun penjara untuk Anwar terlalu singkat sedangkan kes ini sudah mengambil masa selama tujuh tahun sebelum mahkamah membuat keputusan.

"Seharusnya Anwar menerima hukuman penjara sekurang-sekurangnya 11 tahun penjara angkara perbuatan meliwat. Ini termasuklah tindakannya yang mencemar badan kehakiman negara ini.

"Saya mahu menasihatkan orang ramai dan penyokong tegar Anwar khususnya agar menerima hakikat keputusan mahkamah yang mendapati beliau bersalah kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari.

"Mahkamah juga sudah membuat keputusan untuk mengekalkan penjara lima tahun yang dibuat tahun lalu,” katanya dalam blog umnobahagiancheras.blogspot.com.

Sehubungan itu, Syed Ali memberi amaran kepada penyokong tegar Anwar agar tidak melakukan tindakan bodoh yang boleh menjejaskan keselamatan awam.

"Mereka dinasihatkan tidak melakukan demonstrasi jalanan dan bertindak mengecam kerajaan kononnya bersikap tidak adil atau berat sebelah," tegasnya.

Katanya, keputusan yang dibuat mahkamah tiada ada kena mengena dengan konspirasi atau campur tangan politik langsung.

"Ia dilakukan atas laporan yang dibuat oleh pengadu bekas pembantu Anwar.

"Hakim sendiri sudah menjelaskan bahawa bekas pembantu Anwar adalah saksi yang berkredibiliti, jadi terimalah hakikat Anwar meliwat.

"Keputusan yang dibuat oleh barisan panel hakim adalah telus dan berintegriti. Mahkamah juga bebas dan tidak tunduk kepada mana-mana tekanan politik dalam menentukan hukuman terhadap Anwar," katanya.

Syed Ali yang menerima baik keputusan hakim itu berpendapat, dengan berakhirnya kes Anwar ini, ia berjaya membuktikan bahawa badan kehakiman di negara ini bebas dan tidak tunduk di bawah tekanan pihak penguasa.

‎Katanya lagi, semua pihak turut digesa menerima dengan tenang keputusan mahkamah yang dibuat selepas meneliti dan mengambil kira semua bukti mengikut lunas–lunas perundangan.

"Semua perlu faham keputusan badan kehakiman tidak ada kaitan langsung dengan UMNO atau Putrajaya.

"Pada pandangan saya mahkamah menjalankan tugasnya secara bebas tanpa campurtangan politik. Saya berharap penyokong Anwar menghormati keputusan yang dibuat oleh barisan hakim mengenai kes liwat 11 dengan perasaan berlapang dada.

"Bagi saya ini semua adalah ketentuan dari Allah yang perlu diterima oleh semua pihak dengan hati terbuka. Janganlah selepas ini timbul mana-mana dakwaan penyokong Anwar tidak puas hati kononnya wujud konspirasi politik dan sebagainya," katanya

Kes liwat 11 Anwar Ibrahim mula dibicarakan di mahkamah pada 7 Ogos 2008 apabila dia didakwa melakukan seks luar tabii ke atas bekas pembantunya Saiful Bukhari di sebuah pangsapuri di Damansara.

Pada Januari 2012, mahkamah membebaskan Anwar tetapi ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lepas.

Syed Ali dalam pada itu turut meminta tidak ada pihak yang mendakwa mahkamah bertindak zalim terhadap Ketua Pembangkang itu.

"Apa yang berlaku kepada Anwar merupakan kesilapan dirinya sendiri yang tiada kena mengena dengan orang lain.

"Walau apapun keputusan kena terimalah. Janganlah penyokong tegarnya hilang pertimbangan diri sehingga melakukan demonstrasi haram , rusuhan atau himpunan jalanan boleh mengganggu gugat keselamatan awam," katanya. 

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment