Wednesday 11 February 2015

Nurul Nuha bakal calon PKR di Permatang Pauh?

Beberapa pemerhati politik melihat Nurul Nuha (tengah), anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim mula diketengahkan bagi meneruskan legasi keluarga itu di Permatang Pauh.

KUALA LUMPUR: Sekalipun ramai pihak masih menunggu keputusan rasmi berhubung kekosongan kerusi parlimen Permatang Pauh, beberapa pemerhati politik melihat Nurul Nuha, anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim mula diketengahkan bagi meneruskan legasi keluarga itu di Permatang Pauh.

Nurul Nuha, 31, seorang suri rumah berkelulusan Ijazah Teknologi Seni dan Visual dari Universiti George Mason, Amerika Syarikat, diberikan "tugasan awal" dalam kempen terbaru perjuangan Anwar yang didakwa menjadi mangsa ketidakadilan.

Dalam sidang media di kediaman keluarga Anwar di sini hari ini, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah yang juga anak sulung Anwar memperkenalkan adiknya itu kepada pengamal media.

"Nurul Nuha akan memainkan peranan dalam kempen 'March to Freedom'. Fokus (kami kini) adalah untuk menubuhkan sekretariat (untuk kempen) dan kami akan berurusan dengan beberapa pihak dan personaliti dalam soal ini dan mahu memastikan Nurul Nuha menjadi wajah (bagi kempen)," katanya.

Bagaimanapun beliau menolak untuk menjawab soalan wartawan sama ada kempen tersebut bertujuan menonjolkan adiknya di pentas politik.

"Hari ini kami hanya menumpukan pada kempen 'March to Freedom' dan tiada pengumuman mengenai pencalonan pada sidang media ini. Saya fikir kami cuba memastikan setiap adik beradik kami berdikari dari segi kewangan," kata Nurul Izzah.

Semalam, Mahkamah Persekutuan memutuskan Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008 dengan mengekalkan hukuman penjara lima tahun.

Keputusan itu sekali gus melucutkan kelayakan Anwar sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh yang disandangnya sejak 2008 berikutan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang anggota Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih daripada RM2,000.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika dihubungi Bernama semalam berkata SPR akan hanya mengumumkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh sebaik menerima surat rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat.

Sementara itu, Pensyarah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan berkata, penglibatan Nurul Nuha dalam kempen itu dilihat seperti usaha PKR untuk mengangkatnya sebagai calon kerusi Parlimen Permatang Pauh.

"Kalau ini benar, nampak seperti PKR ketandusan calon, walhal sebenarnya banyak calon lain yang berkelayakan dalam PKR sedangkan Nurul Nuha tidak nampak kewibawaannya," katanya.

Katanya, jika Nurul Nuha menjadi calon ia sekali gus menunjukkan keluarga Anwar mahu terus menguasai PKR dan meneruskan amalan nepotisme dalam parti itu.

Beliau berkata usaha menjadikan Nurul Nuha sebagai calon dilihat akan memberi kelebihan untuknya mendapat sokongan sepertimana yang diterima Nurul Izzah dalam pilihan raya sebelum ini.

Pensyarah Geo-Politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali pula berpendapat, jika Nurul Nuha dicalonkan untuk pilihan raya kecil Permatang Pauh, ia jelas menunjukkan amalan nepotisme dan kekeluargaan dalam PKR.

"Sesiapa sahaja yang melihat keadaan itu akan berkata itu adalah nepotisme dan kekeluargaan," katanya.

Dr Mohd Fuad menjelaskan, jika Nurul Nuha dicalonkan di Permatang Pauh, ia adalah kerana kerusi tersebut merupakan kubu kuat PKR dan mereka berkeyakinan tinggi mampu menang walaupun meletakkan calon yang kurang dikenali atau berkemampuan.

"Selain itu mungkin juga isu simpati akan digunakan untuk memastikan kemenangan Nurul Nuha nanti seperti yang pernah digunakan oleh isteri Anwar (Presiden PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika bertanding di kerusi tersebut dahulu," katanya.

Selain Nurul Izzah dan Nurul Nuha, Anwar mempunyai empat anak yang lain iaitu Mohd Ihsan, Nurul Ilham, Nurul Iman dan Nurul Hana.

Anwar, 67, dari Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang mula bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum keenam pada April 1982 atas tiket Barisan Nasional dengan mengalahkan calon PAS Zabidi Ali dengan majoriti 14,352 undi.

Beliau telah mempertahankan kerusi itu sehingga dijatuhi hukuman penjara pada 14 April 1999, dan kerusi tersebut dimenangi Dr Wan Azizah pada pilihan raya umum ke-10 pada November 1999.

Anwar yang dibebaskan daripada penjara pada 2 Sept 2004, tidak dibenarkan berpolitik selama lima tahun berkuat kuasa daripada tarikh pembebasan.

Dr Wan Azizah telah terus mempertahankan kerusi itu sehingga mengosongkan kerusi itu pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding kerusi itu dalam pilihan raya kecil kerusi Permatang Pauh pada Ogos, 2008.

Anwar memenangi kerusi itu dengan mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk Arif Shah Omar Shah dengan majoriti 15,671 undi.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment