Friday 13 February 2015

Perhatian: 24 lokasi berisiko kemalangan

Mohd Noor (kanan) bersama Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman semasa sidang medianya di Bilik Media IPK Pahang,di sini, semalam.

KUANTAN - Sebanyak 24 lokasi panas melibatkan laluan utama seluruh negeri yang berisiko tinggi menyumbang kepada berlakunya kemalangan akan diberi keutamaan dalam pemantauan Ops Selamat keenam sempena perayaan Tahun Baharu Cina bermula semalam hingga 26 Februari depan.

Lokasi-lokasi itu dikenal pasti berdasarkan statistik kadar kemalangan termasuk kemalangan maut sepanjang 2014 yang direkodkan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Pemangku Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, antara lokasi dikenal pasti dan terlibat dalam Ops Selamat kali ini termasuk empat di Kuantan iaitu; Kilometer (KM) 36-48 Jalan Kuantan- Maran, KM 11-20 Jalan Pintasan Kuantan, KM 32-35 Jalan Kuantan-Kemaman dan KM 23 Jalan Kuantan-Gambang.

Menurutnya, dua lokasi di Pekan termasuk KM 7-11 Jalan Kuantan-Pekan dan KM 62-65 Jalan Kuantan –Segamat.

“Kita mengenal pasti tiga lokasi laluan berisiko di daerah Rompin, iaitu sepanjang Jalan Kuantan- Segamat di KM 104 -110, KM 112- 115 dan KM 120-124 manakala di Maran juga melibatkan tiga lokasi iaitu, KM 66-82, KM 95-102, KM 108-112, Jalan Kuantan- Kuala Lumpur.

“Manakala bagi daerah Temerloh, kita mendapati beberapa lokasi sepanjang Jalan Kuantan- Kuala Lumpur terutama, KM 123-125, KM 162 dan KM 168 juga perlu diberi perhatian berikutan kes-kes kemalangan di laluan tersebut yang dilaporkan,” katanya dalam sidang medianya di sini, semalam.

Mohd Noor berkata, bagi daerah Lipis lokasi dikenal pasti di KM 59 Jalan Lipis-Merapoh-Gua Musang manakala bagi daerah Bentong dua lokasi terlibat iaitu di KM 75, Jalan Kuala Lumpur-Karak dan KM 7 Jalan Bentong-Raub.

“Kita juga akan meningkat pemantauan di KM326-325, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu di Raub, KM 2-4, KM 15-24 Jalan Jerantut-Benta dan KM 42-56 Jalan Jerantut- Kota Gelanggi di Jerantut seterusnya, KM 30 dan KM 48 Jalan Temerloh-Bahau di Bera,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) pihaknya akan memberikan tumpuan di lima lokasi iaitu KM 201-205, KM 208- 212 dalam daerah Kuantan, KM 179-183, KM 159-162 bagi daerah Maran dan KM95-105, Temerloh.

“Sepanjang Ops Selamat kali ini, kita akan mengambil tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh dengan menumpukan kesalahan-kesalahan utama yang dilakukan pengguna jalan raya termasuk memotong di garisan berkembar, memotong di laluan kecemasan, memandu melebihi had
laju, potong barisan dan langgar lampu isyarat merah.

"Kesalahan-kesalahan ini dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada kes-kes kemalangan termasuk kemalangan maut yang direkodkan sebelum ini.

Mohd Noor berkata, usaha yang dijalankan pihaknya itu bertujuan bagi memastikan kadar kemalangan terutama kemalangan maut dapat dikurangkan atau mencapai sasaran sifar kali ini.

“Menurutnya, sasaran itu boleh dicapai sekiranya pemandu dan pengguna jalan raya berubah sikap dengan mengamalkan pemanduan secara berhemah.

“Pada saya, faktor sikap masih menjadi penyumbang utama kepada kemalangan selain struktur jalan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang Ops Selamat keempat sempena Tahun Baharu Cina 2014, secara keseluruhannya jumlah kemalangan yang dicatatkan menunjukkan penurunan berbanding Ops Selamat kedua 2013.

Sepanjang tempoh perbandingan itu, jumlah kemalangan dicatatkan untuk 2014 menurun daripada 1,054 kes (2013) kepada 770 kes iaitu penurunan sebanyak 284 kes atau 26.7 peratus.

“Manakala jumlah kemalangan maut juga menurun kepada 12 pada 2014 berbanding 27 pada 2013, turun sebanyak 15 kes atau 55.6 peratus diikuti jumlah kematian menurun sebanyak 20 kes daripada 33 (2013) kepada 13 (2014),” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment