Friday 13 February 2015

Erra Fazira teman artis pertama dimaklum Yana ingin berkahwin

Erra Fazira bersama Yana Samsudin. - Foto Instagram

KUALA LUMPUR: Barangkali mungkin ada yang tertanya sejauh mana keakraban Erra Fazira dengan Yana Samsudin sehingga pengacara Primadona itu sanggup ke Yong Peng, Johor menghadiri majlis pernikahan Yana dan Fadzil Zahari.

Erra yang dihubungi sebentar tadi menjelaskan beliau dan Yana sebenarnya sudah mula kenal sedari lama lagi. Ketika itu Yana masih lagi menuntut dan pada masa yang sama berjinak-jinak dalam dunia seni.

Tambahan pula kedua-duanya pernah berlakon dalam produksi Metrowealth milik David Teo. Malah hingga sekarang hubungan itu kekal terjalin biarpun jarang berjumpa dek kesibukan masing-masing memenuhi rutin seni.

"Saya sangat terharu dan bangga kerana diberitahu menjadi rakan artis yang pertama dimaklumkan mengenai hasratnya untuk berkahwin. Jadi atas alasan itu juga saya datang ke majlis pernikahan untuk memberi sokongan," kata Erra.

Erra sempat menitipkan ucapan tahniah buat mempelai.

"Dia masih Yana yang saya kenal suatu ketika dulu. Harap dia akan terus kekal begitu. Insya-Allah. Harap biarpun sudah berkahwin, sikap yang sedia ada itu dikekalkan sampai bila bila. Insya-Allah dapat dimolekkan lagi sikap positif yang dimilikinya.

"Sebagai yang berpengalaman, saya harap mereka akan banyak bersabar menempuhi alam rumah tangga dan dugaan tak terjangka. Saling membajai kasih sayang hari demi hari. Jangan statik dan terus wujudkan saat indah bersama," katanya.

Menurut Erra lagi, mereka kerap berkongsi pelbagai perkara terutamanya menerusi telefon bimbit selain saling menasihati Yana yang diumpamakan seperti adik.

"Yana ini biar nampak comel dan manis, dia berfikiran matang orangnya," katanya. 

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment