Friday 13 February 2015

iPhone jatuh dalam tab mandi, wanita mati direnjat elektrik

Srividenko dipercayai menggunakan telefon pintarnya itu semasa berbaring dalam tab mandi. 

Seorang wanita di Moscow mati terkena renjatan elektrik selepas iPhone 4 miliknya yang sedang dicaj bateri terjatuh ke dalam tab mandi.

Yevgenia Sviridenko, 24, ditemui oleh teman rumahnya terlantar dalam tab mandi itu pada Isnin malam, lapor akhbar Komsomolskaya Pravda seperti dipetik oleh Moscow Times.

Menurut teman serumah gadis itu, Yaroslav Dubinina, 23, dia pada mulanya hairan melihatkan kawannya itu berlama-lama dalam bilik mandi.

"Saya masuk dan nampak dia terlantar pucat-pasi dalam air. Telefonnya juga ada dalam air. Saya tarik dia keluar dan perasan tubuhnya menggeletar kerana renjatan," katanya seperti dipetik dalam laporan akhbar.

Srividenko dipercayai menggunakan telefon pintarnya itu semasa berbaring dalam tab mandi kerana dia dikesan melawat laman jaringan sosial, VKontakte tidak lama sebelum dia meninggal dunia.

VKontakte ialah laman jaringan sosial seperti Facebook yang cukup popular di kalangan pengguna bahasa Rusia.

Petugas perubatan yang tiba dengan ambulans selepas panggilan kecemasan cuba menyelamatkan Sviridenko tetapi gagal.

Insiden ini berlaku hanya beberapa hari selepas seorang gadis 16 tahun mati di republik Bashkortostan selepas membawa alat caj telefonnya ke dalam bilik air ketika hendak mandi.

Laporan awal mendapati gadis itu mati akibat renjatan elektrik tetapi siasatan masih lagi dijalankan, lapor akhbar di Rusia.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment