Monday 12 January 2015

Sedekah RM5 samun RM4,000



ALOR PONGSU - Seorang warga emas tidak menyangka wang sedekah RM5 yang diterima dari seorang lelaki berkopiah menyebabkan dia kerugian RM4,000 selepas disamun individu itu di rumahnya di Kampung Parit Lebai Kadir, di sini 8 Januari lalu.

Lebih menyedihkan, Radiah Ismail, 71, juga kempunan bantuan banjir dijanjikan lelaki terbabit sesudah wang tunai dan barang kemas miliknya lesap.

Anak mangsa, Mohammad Shafiee, 32, berkata, ketika kejadian jam 9.30 pagi itu, ibunya bersendirian di dapur sambil mengupas buah nangka sebelum didatangi seorang lelaki berkopiah.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa mahu menyalurkan bantuan kewangan kepada mangsa banjir di Kerian dan meminta mangsa memberikan kad pengenalan kepadanya untuk mengisi borang permohonan.

“Sebaik sahaja menemui emak saya, lelaki itu terus menghulurkan wang tunai RM5 sambil menunjukkan sejumlah wang tunai yang banyak di dalam begnya, kononnya untuk disumbangkan kepada mangsa banjir.

“Bagaikan dipukau, emak segera menurut arahan lelaki itu supaya ambil kad pengenalan dalam beg duit yang digantung di bahagian penjuru ruang tamu rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Mohammad berkata, selepas menerima kad pengenalan ibunya, suspek meminta mangsa mengambil segelas air di dapur.

Menurutnya, ibunya terkejut lihat individu terbabit tergesa-gesa beredar dari rumahnya sebaik keluar dari dapur.

“Emak saya panggil lelaki itu yang tergesa-gesa naik motosikal dan ajak minum air disediakan, namun dia menolak dengan alasan perlu urus permohonan mangsa banjir lain.

“Ketika emak saya mahu simpan kad pengenalannya, dia terkejut beg duit digantung pada penjuru dinding ruang tamu rumah lesap,” katanya.

Mohammad berkata, mangsa segera memaklumkan kejadian itu kepadanya dan laporan dibuat di Balai Polis Bagan Serai.

Katanya, kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian hampir RM4,000 apabila wang tunai berjumlah RM550, seutas rantai dan sebentuk cincin disimpan di dalam beg duit itu lesap dikebas suspek.

“Sewaktu buat laporan polis, kami dimaklumkan satu lagi kejadian hampir sama berlaku kepada sepasang suami isteri di Kampung Parit Air Hitam 2 pada hari sama,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Mohd Radzuan Bachik berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 30-an dan dipercayai tiada kaitan dengan penyamaran pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini.

Beliau turut mengesahkan kejadian kedua melibatkan sepasang suami isteri warga emas di Kampung Parit Air Hitam 2, pada petang hari sama dan mangsa kerugian RM2,000.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment