Monday 12 January 2015

Fenomena Obsesif Lelaki Comel Korea


Bagi peminat tegar selebriti Korea, topik mengenai artis pujaan mereka asyik bermain di bibir, dibincang serta dikongsikan bersama rakan sealiran minat. Selagi drama juga lagu titipan Negara terkenal dengan kimchi itu berkumandang serta diminati, deretan filem serta dramanya tidak putus mengisi slot tayangan televisyen tempatan bahkan dimuat turun di internet, selagi itu demam terhadap industrinya tidak kebah. 

Namun, menyelongkar soal minat dan kegilaan, tidak dinafikan majority penggemar juga pengikut seni hiburan turut masyhur dengan panggilan Hallyu ini adalah wanita sekali gus menyebabkan segala tumpuan serta perhatian lebih memihak kepada selebriti lelakinya.

Dibandingkan populariti suam-suam kuku artis wanitanya, berani dikatakan selebriti lelaki Korea menikmati kemasyhuran setanding dikecapi bintang ternama Hollywood. Malah menerusi kewujudan kumpulan peminat fanatic bergelar 'sasaeng' yang tidak segan silu mengintip setiap pergerakan idola mereka semata-mata mahu menjadi orang pertama memperoleh perkembangan terkini artis pujaan mereka secara tidak langsung turut mendedahkan dunia luar terhadap 'kisah dalam kain' artis mereka.

Selama melayari laman tertentu yang turut menyelitkan kisah sasaeng, saya dapati artis lelakinya selalu menjadi mangsa kerakusan golongan ini yang begitu berhasrat memiliki atau menjadi sebahagian daripada kehidupan artis berkenaan (meskipun hakikat sebenar golongan ini tidak langsung mendapat tempat di hati artis terbabit kerana disifatkan menceroboh privacy selain sering berkelakuan luar batas). Kumpulan TVXQ pernah berikrar tidak mahu memberi muka terhadap sasaeng lantaran tindakan biadab mereka yang bukan saja didakwa mendera mental kumpulan itu bahkan sehingga mengakibatkan kemalangan.

Antara perkara gila dilakukan sasaeng termasuk menyelinap masuk ke pangsapuri ahli kumpulan berkenaan dan mencumbui mereka ketika sedang lena tidur. Ada yang lebih gila menghadiahkan tuala wanita penuh darah kotor namun nasib Junsu lebih malang, apabila diberitakan terbabit kemalangan jalan raya gara-gara mengelak diekori sasaeng.

Itu belum lagi membabitkan senarai panjang jika difikirkan, diakui bertentangan hak asasi manusia antaranya, melakukan kunci pendua apartmen dihuni kumpulan itu, mengekori Changmin sebelum mengakibatkan kecederaan jari kelingkinnya, merekodkan perbualan telefon mereka dan paling tidak boleh diterima akal, membekukan akaun bank milik anggota kumpulan itu. Pun begitu, apa sebenarnya yang mendorong kemunculan sasaeng ini? Apakah faktor utama yang mengikat minat seterusnya menyebabkan kegilaan melampau terhadap selebriti kesayangan mereka?

Rasanya ramai bersetuju, jika saya katakan artis lelaki (ya, mereka selalu menjadi mangsa) juga popular dengan jolokan idol memiliki pakej sempurna sebagai bintang. Bermula seraut wajah tampan menggetarkan jiwa sementara yang memiliki jelapang wajah dan personaliti comel, dianggap pula mewakili imej teman lelaki ideal yang meskipun bersifat keanak-anakan namun romantik serta penuh pengertian.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment