Sunday 4 January 2015

Pergi sekolah untuk belajar, bukan main handphone


Proses pengajaran dan pelajaran boleh terganggu jika murid-murid dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah?

KUALA LUMPUR: Proses pengajaran dan pelajaran boleh terganggu jika murid-murid dibenarkan untuk membawa telefon ke sekolah.

Itu antara pandangan ibu bapa berhubung cadangan exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain agar Kementerian Pendidikan menimbang semula keputusannya untuk tidak membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah.

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil, Noorfajri Ismail berpendapat bahawa murid-murid harus memberi lebih tumpuan kepada pelajaran.

“Sekolah perlu kekal sebagai institusi pendidikan. Beri mereka (murid-murid) tumpuan kepada pendidikan. Manfaatkan masa di sekolah. Bila sudah habis sesi sekolah, terpulang kepada murid-murid jika mereka mahu guna telefon bimbit.

“Saya sebagai pensyarah melihat pelajar universiti yang tidak fokus kepada pelajaran dengan adanya telefon bimbit bersama mereka. Kalau ia sudah berlaku pada mereka yang sudah berusia 17 tahun ke atas, apa lagi pada usia yang muda,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Noorfajri turut meluahkan kerisauan tentang penyalahgunaan telefon bimbit.

“Telefon bimbit sekarang ini pun sudah canggih, ada aplikasi media sosial. Tahap kefahaman positif tentang penggunaan telefon bimbit dan media sosial masih kurang di kalangan mereka yang masih muda.

“Saya risau sebab nanti ada kes rakam video buli, kes rakam gambar teman-teman mereka. Mereka juga kreatif, jadi apabila mereka tidak suka cikgu, mereka boleh rakam gambar cikgu, edit dan sebarkan di media sosial,” kata Noorfajri.

Apabila diminta untuk mengulas tentang kegunaan telefon bimbit ketika waktu kecemasan, beliau berkata pihak sekolah mempunyai prosedur tersendiri dan akan menghubungi pihak ibu bapa.

“Ia pernah berlaku kepada saya secara peribadi. Ketika waktu kecemasan, pihak pejabat sekolah akan menghubungi ibu bapa menerusi telefon sekolah. Kalau tidak, cikgu itu sendiri memiliki alat komunikasi," tambahnya.

Yang Dipertua PIBG Sek Keb Bukit Damansara, Nik Faruk Fadzil berkata walaupun telefon bimbit merupakan satu keperluan, namun faktor lain harus difikirkan.

“Terdapat pelbagai faktor lain seperti tempat menyimpan, keselamatan dan waktu kebenaran ia boleh digunakan.

"Ia akan menimbul pelbagai masalah lain. Sekolah perlu kemudahan tempat menyimpan yang selamat sebelum pertimbangan dari sudut lain.

"Kalau tidak, nanti handphone hilang, dicuri, ibu bapa akan menuding jari kepada banyak pihak,” katanya.

Yang Dipertua PIBG Sek Keb Wangsa Maju Zon R10 Mohd Suhaimi Abdul Hamid berkata saranan ini memerlukan pemantauan dan disiplin.

“Pada saya tiada masalah, asalkan pada waktu belajar ia ditutup tetapi ini memerlukan pemantauan dan disiplin yang tinggi.

“Yang kedua, takut juga masalah lain seperti kecurian dan salah guna dan memerlukan disiplin yang tinggi. Contohnya, telefon bimbit akan dirampas oleh sekolah setelah didapati bermaingame ketika waktu kelas,” kata Suhaimi.

Sementara itu, seorang ibu yang dihubungi Astro AWANI tidak bersetuju dengan cadangan untuk membenarkan murid untuk membawa telefon bimbit.

Ayu Zulkifli yang mempunyai seorang anak lelaki bakal ke Tingkatan 3 berkata pelajar harus memberi tumpuan kepada pelajaran.

“Itu tujuan untuk pergi ke sekolah, kan? Jangan hendak WhatsApp, main Angry Bird atau mengemaskini media sosial,” ujarnya.

Beliau turut berkata bahawa pejabat sekolah akan menghubungi terus ibu bapa jikalau terdapat sebarang kecemasan.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment