Zamzuriah atau Zam, penari muda genre Mak Yong moden yang semakin mendapat perhatian di khalayak penonton seni persembahan umum
KUALA LUMPUR: Bintang baru seni persembahan tradisional Mak Yong, Zamzuriah Zahari antara biduanita muda tempatan yang bakal menyinari pentas di Festival Kakiseni 2014 di tengah-tengah kotaraya Bukit Bintang lebih kurang 18 hari lagi.
Harapan agar pengunjung puris tidak terlalu terkejut dengan hidangan yang sedikit kontemporari dari penari ini, sekaligus mempamerkan cinta, wawasan dan perjuangan graduan Akademi Seni Kebangsaan/ASWARA dan Universiti Malaya ini dalam semua hal berkaitan forma tradisional yang wajar dihidupkan ini.
Zamzuriah atau Zam, penari muda genre Mak Yong moden yang semakin mendapat perhatian di khalayak penonton seni persembahan umum, dan jika belum beliau wajar diberikan perhatian di masa terdekat ini. Di mana pokok pangkal tradisi membentuk jati diri untuk dibawa ke mana sahaja, kraf dan teknik asas yang diwariskan daripada turun-temurun sudahpun dikhatam.
"Saya rasa masa depan seni tari Mak Yong harus dikontemporarikan", percaya Zam yang membesar dengan budaya Mak Yong di negeri asalnya Kelantan.
Antara pemain utama yang bakal mencuri perhatian di Kakiseni Festival pada September 16 nanti, Zam mewakili generasi penggiat seni muda yang tidak gentar menjanjikan sesuatu yang istimewa buat seni warisannya di masa akan datang.
"Selalunya saya cukup selesa dengan persembahan solo, namun kalau keadaan mengizinkan kita menambah ada ensembel dengan penari dan pemuzik lain kita juga boleh sesuaikan persembahan, tiada masalah," katanya.
Penampilan beliau kini diiringi rentak sentuhan suaminya sendiri, Kamarul Baisah Husin, pemuzik alat bergendang dan juga graduan sekolah seni tanahair tersebut yang tidak asing lagi itu. Semakin ternyata Zam adalah antara produk-produk berkaliber, punyai wawasan yang padu dan juga bijak bergerak sendiri.
Selain berbakat tinggi, penggiat-penggiat seperti ini melambangkan potensi sedia ada di kalangan generasi anak Malaysia sekarang. Zam setakat ini menunjukkan prestasi yang menampakkan masa depan yang cerah dan prolifik buat dirinya.
Serbaboleh dengan pelbagai peranan dan watak, wanita yang berasal dari Kota Baru ini juga mampu berlakon musikal dan di pentas teater, seperti 'Mak Yung Dewa Muda' yang berlangsung di Panggung Beringin Emas, Dataran Underground Mei lalu, dan juga 'Honey' pada Mac lepas. Agaknya tidak menjadi hal pada anak seni yang versatil ini, di mana beliau mudah memikul peranan utama dalam pementasan-pementasan tersebut.
Apa yang boleh diharapkan insan yang menyaksikan persembahan Zam di #Kakisenifest nanti? "Seperti yang saya sebut tadi saya harap persembahan ini mampu beri nafas baru untuk menghidupkan seni Mak Yong dan tarian asli dengan rupa yang kontem."
Kata Malik Taufiq, wakil Pesta Seni Antarabangsa Kakiseni pertama ini: "Zamzuriah antara bintang baru tarian tempatan yang menyerlah sejak dari ASWARA lagi. Kami berbesar hati dapat membantu merealisasikan karya langsung Zam dengan memberi platform kepadanya."
Bakat kental kepunyaan Zamzuriah Zahari, nama yang pasti menjadi tumpuan semua di tengah-tengah Bukit Bintang ketika persembahannya nanti. Kini tiba saatnya untuk anak Kelantan berusia 27 tahun ini benar-benar menyinar buat penghayatan audiens kosmopolitan sebuah Malaysia baru di luar sana.
-- Sumber: Daily Seni
No comments:
Post a Comment