Friday, 5 September 2014

Wartawan Malaysiakini ditahan polis

Wartawan Malaysiakini, Susan Loone, hari ini ditahan polis berhubung temubualnya dengan Pengerusi Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Phee Boon Poh dan penahanan beramai-ramai anggota PPS pada hari Merdeka - Foto Malaysiakini

KUALA LUMPUR: Wartawan Malaysiakini, Susan Loone, hari ini ditahan polis berhubung temubualnya dengan Pengerusi Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Phee Boon Poh dan penahanan beramai-ramai anggota PPS pada Hari Kemerdekaan.

Loone ditahan di bawah Akta Hasutan ketika disoal siasat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang siang tadi dan dijangka akan dibebaskan dengan jaminan polis malam ini.

Loone dan portal berita Malaysiakini disiasat di bawah Seksyen 41c Akta Hasutan 1948 ekoran 10 laporan polis yang dibuat oleh beberapa NGO di Pulau Pinang terhadap laporan temubual tersebut, yang bertajuk 'Disoal siasat selama 4 jam, dakwa dilayan seperti penjenayah'.

Artikel berkenaan menyiarkan temubual wartawan berkenaan dengan Phee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri pada pukul 1.30 pagi ketika Phee masih dalam tahanan polis.

Ahad lepas, polis menahan 156 anggota PPS termasuk Phee kerana mengingkari amaran untuk tidak menjalankan sebarang aktiviti selepas pasukan itu didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sementara itu dalam satu kenyataan The Centre for Independent Journalism (Pusat Untuk Kewartawan Bebas) berkata pihaknya melahirkan rasa amat kecewa dengan penahanan Loone dan menggesa dia dibebaskan serta pihak media tidak diganggu oleh mana-mana pihak ketika melaksanakan tugas mereka..

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pengarah pusat itu, Sonia Randhawa, tindakan penahanan itu dibuat ketika kerajaan melahirkan hasrat untuk mengkaji semula Akta Hasutan yang diwarisi dari zaman penjajahan.

“Akta itu itu telah ditulis secara terlalu luas (ruang lingkupnya) dan ia memberikan ancaman kepada kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," menurut kenyataan itu.

Justeru pusat itu mengggesa siasatan ke atas Loone di bawah Akta Hasutan dihentikan serta merta kerana akta itu sedang dipertimbangkan untuk dikaji semula dan perkara itu merupakan satu perkara yang perlu dilakukan dengan segera oleh pihak kerajaan.

--Petikan:  Astro Awani, September 04, 2014 19:56 MYT

No comments:

Post a Comment