Sunday 19 January 2014

Bot karam: Jangan sebar maklumat belum sah

KUCHING - Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Muhammad Sabtu Osman meminta semua pihak tidak menyebarkan sebarang bentuk maklumat yang belum disahkan.

Ini, katanya, termasuk nama mangsa terselamat dan masih hilang dalam kejadian bot panjang dinaiki 27 penumpang yang terbalik di Batang Lassa dekat Kampung Kut di Daro, tengah hari semalam.

Beliau juga meminta semua pihak menunggu kenyataan rasmi daripada polis sebelum mengeluarkan sebarang bentuk laporan.

"Untuk makluman semua, sehingga pagi ini tiga mangsa disahkan meninggal dunia, lapan masih hilang dan 16 berjaya diselamatkan. Bagaimanapun jika ada pula akhbar-akhbar dalam laporan hari ini menyatakan 17 mangsa berjaya diselamatkan, ini tidak tepat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program 'PDRM dan Komuniti Bersama Memerangi Jenayah' di Medan Niaga Satok, di sini hari ini.

Ketika ditanya hasil siasatan awal punca nahas, Muhammad Sabtu berkata terlalu awal untuk mencari punca sebenar kejadian.

"Ketika ini kita tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, seperti ada dakwaan mengatakan bot panjang berkenaan terlebih muatan.

"Apa yang boleh disahkan ialah ketika kejadian, arus deras dan angin kencang... untuk lebih kepastian kita biarkan polis melakukan siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Matu/Daro DSP Wagner Lisa Libut dan Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Daerah Matu/Daro Inspektor Raja Mahdi Raja Mahmudin ketika dihubungi Bernama mengesahkan, senarai nama yang disiarkan oleh akhbar serta di Internet seperti laman sosial Facebook bukan dikeluarkan polis.

"Polis tidak mengeluarkan senarai nama itu termasuk mangsa terselamat, dan mangsa hilang.

"Polis pun tidak tahu dari mana nama-nama tersebut diperoleh," kata mereka sambil tidak menolak kemungkinan nama diperoleh terus daripada penduduk kampung.- Bernama

No comments:

Post a Comment