Sunday 19 January 2014

Teman baharu Fazura

Fazura
Fazura

Fazura
Fazura selesa bersama Randy

Fazura
Fazura bersama Yuna


KEHADIRAN bintang ini di dalam arena seni cukup disenangi ramai sejak awal lagi kemunculannya.

Bukan sahaja memiliki wajah yang cantik, Nur Fazura Sharifuddin, 31, atau mesra disapa Fazura mempunyai bakat besar sebagai pelakon dalam industri seni.

Dia juga antara selebriti eksklusif kerana tidak sewenang-wenangnya menerima tawaran lakonan. Namun lumrah sebagai selebriti, kisah peribadi pasti turut menjadi perhatian dan Fazura juga tidak lepas dari melaluinya.

Ketika dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan seorang VVIP, nama Fazura senyap dari dikaitkan dengan selebriti lain. Bagaimanapun ketika berlakon bersama Shaheizy Sam tahun lalu, Fazura dikatakan bercinta dengan Bintang Paling Popular 2013 itu, namun keduanya menafikan.

Senyap seketika dari kisah cinta, nama Fazura kembali menjadi perhatian apabila hubungan persahabatannya bersama seorang jejaka Inggeris menjadi perhatian ramai.

Bahkan ketika Fazura menyambut tahun baharu di Los Angeles baru-baru ini, lelaki tersebut turut setia menemaninya.

Sehinggakan timbul persoalan di hati ramai peminat dan juga media, apa hubungan Fazura dengan jejaka tersebut?


Selesa bersama Randy

Tidak berselindung mahu pun berdolak dalik dari media mengenai gerangan jejaka yang merupakan salah seorang pemuzik dan DJ popular di Los Angeles (L.A), Amerika Syarikat (AS), Fazura menjelaskan dia mengenali jejaka yang dikenali sebagai Randy Siedman, sejak setahun lalu.

Bagaimanapun ujar Fazura, pemergiannya ke L.A bulan lalu, bukanlah untuk berjumpa Randy semata-mata tetapi kerana sudah lama merancang untuk bercuti ke AS.

“Ketika saya ke L. A tahun lalu, bukan dia sahaja yang ada, tetapi juga ada beberapa kawan lain dan sepanjang saya berada di sana, dia menjaga dan melayan saya dengan baik. Mungkin kerana saya banyak memuat naik gambarnya, jadi orang fikir hanya kami berdua yang bercuti bersama.

“Saya akui boleh dikatakan dia kawan lelaki yang paling rapat dengan saya sekarang tetapi itu tidak bermakna kami bercinta. Kami baharu sahaja berkenalan setahun yang lalu.

“Malah saya mengagumi dia dan dia juga mengagumi saya. Saya rasa tidak salah kalau kita nak kagumi kawan kita sendiri,” ujarnya yang ditemui selepas sesi pratonton filem Kami Histeria, baru-baru ini.

Ditanya apa faktor yang membuatkan dia selesa berkawan dengan Randy, Fazura berkata kebijaksanaan dan sikap Randy yang sangat menghormati wanita membuatkan dia tertarik sekali gus senang menjalinkan hubungan sebagai sahabat dengan lelaki tersebut.

“Sikapnya yang sentiasa positif secara tak langsung banyak memberi inspirasi kepada saya. Dia seorang yang unik. Bila bersama dengan dia, saya sentiasa mahu menjadi individu yang lebih baik,” katanya.


Kisah Yuna & Hanez

Sementara itu, Fazura berkata, sepanjang berada di L.A, banyak pengalaman menarik yang diperolehnya dan salah satunya adalah pertemuannya dengan penyanyi, Yuna.

Apatah lagi sewaktu Yuna diundang ke program terkenal di AS, Jimmy Kimmel Live di ABC Television Network, Fazura juga berpeluang hadir sama ke program tersebut dan menyaksikan Yuna membuat persembahan.

“Saya seronok sepanjang berada di sana. Rasa tak nak balik, pun ya. Tapi nak buat macam mana, kerjaya dan famili saya di sini. Apa yang menarik, persekitaran di sana sangat berbeza. Orang-orangnya sangat berfikiran positif dan relaks.

Saya suka suasananya yang sangat ceria, tak ada politik, tak ada drama. Saya sempat ke San Diego, San Fransisco dan saya sambut tahun baharu di Vegas.

“Selain tu saya sempat jumpa Yuna. Sebelum ini saya ada juga berjumpa Yuna dua tiga kali di majlis hiburan di sini dan hari kedua saya di sana, Yuna mesej saya dan ajak berjumpa. Kemudian bila berjumpa, kami berborak sakan selama tiga jam. Dia ajak saya ke rancangan Jimmy Kimmel.

“Saya sangat bangga dengan Yuna. Sewaktu di program tersebut saya satu-satunya penonton Melayu dan saya bangga bila ramai memuji bakat Yuna,” katanya teruja.

Tidak hanya berbicara mengenai Yuna, Fazura juga turut ditebak mengenai statusnya di laman Twitter yang dikatakan ditujukan buat Hanez Suraya selepas dakwaan aktres jelita tersebut meniru gaya Fazura.

Bahkan, beberapa peminat Fazura juga dikatakan turut menghentam Hanez dengan dakwaan sama.

“Mengenai status tersebut, saya tidak tujukan kepada mana-mana orang dalam industri. Sebagai selebriti, saya juga manusia biasa dan berkawan dengan orang lain. Tak semua perkara yang saya lakukan, berkait dan mempunyai sangkut paut dengan industri hiburan.

“Malah saya juga tidak rasa peminat saya membuat tindakan seperti itu kerana mereka tidak suka cari gaduh. Saya tak mahu cakap panjang mengenai perkara ini sebab saya tak tahu sangat dan hanya mengetahui selepas terbaca di akhbar baru-baru ini,” jelasnya.


Takut lihat wajah sendiri?

Dalam perkembangan lain, Fazura yang bakal muncul dengan filem Kami Histeria selepas kali terakhir membintangi filem Bujang Terlajak.

Berkongsi pengalamannya berlakon dalam filem Kami Histeria, Fazura berkata, dia membawakan watak langsuir bernama Cik Lang. Watak tersebut menuntut Fazura untuk bertutur dalam loghat utara.

“Filem ini menyaksikan saya membawakan karakter yang berbeza daripada watak-watak yang dibawakan sebelum ini.

“Saya mengambil masa selama dua hari untuk belajar bertutur dalam loghat Utara. Saya juga dikelilingi oleh mereka yang berasal dari Utara dan itu memudahkan proses pembelajaran.

“Saya selalu inginkan watak yang di luar zon selesa saya. Saya harap menerusi watak ni jadi satu permulaan dan selepas ini penerbit di luar sana boleh tawarkan saya watak yang lebih mencabar dan berlainan,” katanya.

Bukan sahaja menjayakan watak sebagai hantu, Fazura juga sanggup melakukan sendiri lagak ngeri dan menjalani proses solekan dalam tempoh yang lama.

“Semua aksi stunt dilakukan saya sendiri termasuklah memerlukan saya tergantung. Malah saya juga perlu melalui proses solekan selama empat jam dan lucunya, saya takut melihat wajah saya sendiri selepas disolek,” ujarnya.

Bukan sahaja takut melihat wajah sendiri, Fazura juga turut melalui pengalaman yang menyeramkan ketika menjalani penggambaran sekitar awal tahun lalu.

“Ada sekali, ketika kami menjalani penggambaran di dalam hutan di Shah Alam, ketika babak yang memerlukan saya mengilai, ada ‘suara lain’ yang ikut sama mengilai.

Tapi tak ada perkara buruk berlaku. Kami teruskan penggambaran dan buat seperti tiada apa yang berlaku,” katanya yang menjalani penggambaran di hutan tersebut dari jam 7 malam sehingga jam 8 pagi keesokan harinya.

Selain Fazura, filem yang menelan kos RM2 juta ini turut dijayakan barisan pelakon seperti Diana Danielle, Nad Zainal, Mila Jirin, Sara Ali, Izzue Islam dan Afdlin Shauki. Kami Histeria bakal menemui penonton mulai 6 Februari 2014.

No comments:

Post a Comment