Sunday 19 January 2014

Bot karam: Operasi cari 8 mangsa diteruskan

MUKAH - Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) lapan penduduk kampung yang hilang apabila bot panjang yang mereka naiki terbalik di Batang Lassa dekat Kampung Kut di Daro, kira-kira 150 kilometer dari sini semalam, disambung semula jam 7 pagi ini.

Kira-kira 100 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Mukah, Sungai Merah dan Sibu terlibat dalam operasi itu.

Mereka disertai pegawai dan anggota Jabatan Pertahanan Awam, polis, Ikatan Relawan Rakyat, Lembaga Sungai Sarawak dan penduduk tempatan.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 1 tengah hari itu, 27 penduduk Kampung Tekajong dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Saai apabila bot yang mereka naiki terbalik akibat dipukul ombak besar.

Enam belas penumpang terselamat, manakala lapan masih hilang dan tiga disahkan meninggal dunia.

Mereka yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Melati Jerah, 51, Sekiah Kifli, 49, dan Merah Murni, 55.

Mayat mereka dijangka dibawa pulang ke Kampung Tekajong untuk dikebumikan tengah hari ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment