Sunday 19 January 2014

Kecurian cincin berlian RM5.2juta: Polis, Interpol bekerjasama

Polis, Interpol bekerjasama
Keratan akhbar Sinar Harian semalam.


SHAH ALAM – Polis bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menjejaki tiga wanita warga China serta seorang kanak-kanak yang dipercayai mencuri sebentuk cincin bernilai RM5.2 juta di Bukit Bintang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya sudah berhubung dengan kedua-dua agensi terbabit bagi mengesan semua suspek yang terlibat.

“Kita memantau dan memerlukan maklumat daripada agensi terbabit sama ada kesemua suspek masih berada dalam negara atau tidak.

“Kita juga turut bekerjasama dengan pihak-pihak hotel kerana kumpulan suspek itu berkemungkinan menginap dan bersembunyi di premis mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Zainuddin berkata, setakat ini polis masih belum menemui sebarang petunjuk mengenai kumpulan suspek berkenaan.

“Bagaimanapun kita yakin dapat menjejaki mereka dan seterusnya membuat tangkapan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam Khamis lalu, suspek memasuki sebuah kedai barang kemas di Bukit Bintang sebelum berjaya melarikan cincin jenis Solid Errexxtarr.

Dipercayai, seorang daripada mereka mencuri kunci dari dalam laci sebelum membuka petak cermin pameran di dinding premis tersebut. Namun, suspek sempat meletakkan semula kunci itu ke dalam laci sebelum melarikan diri.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dipercayai suspek melakukan jenayah itu hasil maklumat yang diberikan tiga lelaki warga China yang masuk ke premis berkenaan dengan meminta jurujual di situ membuka petak cermin pameran dinding bagi melihat cincin berlian berkenaan. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment