Monday 22 December 2014

Kuala Lumpur milik siapa?

Perkara atau polemik pemilikan ini sudah disuarakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan, NGO yang melihat wujudnya ketidaksamarataan dalam isu itu.

KUALA LUMPUR: Komposisi antara kaum di Kuala Lumpur mencatatkan kesenjangan tinggi bila hanya 21.9 peratus tanah komersial dan kediaman di ibu negara dimiliki bumiputera.

Ia dipercayai antara lain berpunca daripada perancangan pembangunan yang tidak mengendahkan kepentingan hak bumiputera seperti yang terkandung dalam perlembagaan negara.

Perkara atau polemik pemilikan ini sudah disuarakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan, NGO yang melihat wujudnya ketidaksamarataan dalam isu itu.

Menyedari perkara ini, Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia (PEMIKIR) menggesa agar kerajaan menukar status kesemua tanah milik kerajaan di Kuala Lumpur seperti kuarters kerajaan yang belum dibangunkan kepada status tanah rizab Melayu.

Ahli Majlis Tertinggi PEMIKIR, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman memohon pihak berwajib agar dapat melihat kembali perihal yang terkandung Perlembagaan Persekutuan Perkara 89 tanah rizab orang Melayu.

Hal itu dirujuk beliau bila kesenjangan ekonomi bumiputera khususnya Melayu berada pada tahap yang begitu rendah dan tidak mampu bersaing dalam corak pembangunan ketika ini.

Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad pula berkata tanah rizab Melayu ataupun tanah yang digazetkan sebagai tanah rizab Melayu adalah perlu selari dengan perkara perlembagaan terbabit.

Bagaimanapun, beliau melihat ia seakan tidak dilaksanakan.

Dalam sidang media yang diadakan, kedua-dua NGO terbabit memaklumkan bahawa polemik ini sudah berlarutan sekian lama, menyulitkan lagi untuk orang Melayu bersaing di ibu negara, dan nasib mereka semakin tidak terbela.

Merujuk kepada peratusan terkini pemilikan komersial dan pemilikan persendirian, daripada 21.9 peratus pemilikan, hanya 1 peratus pemilikan persendirian.

Ikuti wawancara penuh bersama Abdul Aziz dalam membicarakan lebih lanjut berhubung kemerosotan peratusan pemilikan Bumiputera terhadap tanah komersial dan kediaman di kawasan bandar.

- Sumber: Astro Awan

No comments:

Post a Comment