Monday 22 December 2014

'Ini momen paling diingati dalam karier saya'

Kegembiraan Nicol terpancar sewaktu mendakap Piala Kejohanan Dunia bersama gelaran juara dunia kelapan buatnya. - Sumber: Facebook Nicol David

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David menyifatkan kejayaannya melakar gelaran kejuaraan dunia kelapan di Kaherah, Mesir semalam suatu momen paling istimewa buatnya.

Nicol mengungkapkan kegembiraannya melalui media sosial: “Saya tidak percaya mampu meraih gelaran kejuaraan ini. Hari ini merupakan perlawanan skuasy yang paling saya ingati sepanjang karier saya, menentang Raneem (El Weleily) dalam perlawanan akhir Kejuaraan Dunia. Terima kasih semua atas ucapan! Tidak sabar untuk pulang ke tanah air."

Dalam set pembukaan, Nicol tewas 5-11 tetapi berjaya menyamakan kedudukan pada set berikutnya dengan mata 11-8.

Pada set ketiga, Nicol yang seperti kehilangan fokus memudahkan Raneem menang 7-11.

Set keempat menyaksikan Raneem berjaya menguasai gelanggang lalu mudah mengatasi Nicol pada kedudukan 10-6.

Kebangkitan luar biasa Nicol dilihat pada set seterusnya apabila beliau menyamakan kedudukan apabila menewaskan Raneem 14-12 dan mara ke set penentuan.

Pada set kelima, Nicol berjuang dengan saki-baki tenaga dan semangat hingga menundukkan lawannya 11-5.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu dilihat terbaring di atas gelanggang sambil menitiskan air mata selepas mengetahui jerih-payahnya membuahkan hasil.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut melahirkan rasa gembiranya atas kejayaan bintang skuasy negara itu dengan mengucapkan syabas kepada ikon skuasy negara itu melalui akaun Twitternya.

'GOAT' yang dimaksudkan Khairy itu merujuk kepada singkatan Greatest Of All Time (Yang terhebat sepanjang zaman) manakala 'Amsterdam' pula dipercayai merujuk kepada urusan Nicol di ibu negara Belanda itu bagi mengasah bakatnya di akademi jurulatih peribadinya, Liz Irving.

Nicol yang ditemui wartawan selepas perlawanan semalam menyatakan bahawa kemenangannya itu bukan suatu perkara mudah.

“Ada beberapa detik yang membuat saya berasa bahawa ini akan berakhir, tapi saya tidak mahu ia menjadi begitu. Saya berusaha dengan sehabis upaya kerana saya sangat mahukannya (kejuaraan).

“Raneem sangat bertenaga, dan saya sedar jika saya tidak berbuat apa-apa, dia akan membawa pulang kejuaraan itu. Maka saya akui ada perubahan dalam cara saya memainkannya,” ujar Nicol kepada AFP sejurus tamat perlawanan.

Kemenangan Nicol itu bermakna beliau merupakan pemain pertama yang pernah terlepas gelaran juara dunia dan kembali merampasnya dalam setahun kalendar kejohanan.

Nicol menjulang kejuaraan dunia buat kali pertama pada 2005, sebelum mengulanginya pada 2006, 2008, 2009, 2010, 2011 dan 2012.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment