Monday 22 December 2014

Eksekutif kanan BMW M sertai Hyundai

Hyundai Motor Group baharu sahaja mengumumkan pelantikan Albert Biermann sebagai ketua kenderaan berprestasi tinggi & ujian kereta. Ini satu lagi langkah yang penting untuk pengeluar kereta Korea ini lanjutan daripada pembukaan pusat ujian Eropah yang berpusat di Nurburgring, Jerman, pada awal tahun 2014.

Albert Biermann juga adalah satu nama besar di dalam skop pembuatan kereta berprestasi tinggi oleh kerana pengalamannya sebagai timbalan presiden kejuruteraan BMW divisyen M yang dipegang sejak 2008. Beliau juga sudah bersama-sama BMW lebih daripada 30 tahun.

Hasil kerjanya di divisyen M termasuk membangunkan jentera lumba Grup A E30 M3 (gambar di bawah), sehinggalah ke model-model zaman moden; bahkan beliau antara yang bertanggunjawab membawa M ke era turbo.


Albert Biermann, 57 tahun, akan memulakan kerja baharu beliau secara rasminya pada 1 April 2015 nanti. Selain daripada bertanggungjawab untuk menghasilkan kenderaan berprestasi tinggi untuk Hyundai dan Kia (serta teknologi-teknologi berkaitannya), beliau juga akan menyelia projek berkaitan pengendalian, keselamatan, di samping NVH (noise, vibration & harsness). Untuk ini, beliau akan beroperasi di pusat R&D Hyundai-Kia di Namyang, Korea Selatan.

Skop kerjanya pasti juga akan meliputi pembabitan Hyundai di dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang buat masa sekarang menggunakan model i20.

Albert Biermann sekarang adalah pekerja ‘import’ kedua paling kanan selepas Peter Schreyer, selaku ketua rekaan kumpulan syarikat berkenaan. 

- Sumber: Astro Publication 

No comments:

Post a Comment