Saturday 18 October 2014

Bukan seram biasa


MULA melangkah dalam bidang pengarahan pada 2010 menerusi filem romantik, Sekali Lagi..., pengarah ini banyak menghasilkan filem dari genre yang sama.

Namun, hampir empat tahun berada di kerusi pengarahan, kredibiliti Hashim Rejab diuji pada tahun ini dengan penghasilan filem bergenre seram, Nasi Tangas.

Selepas muncul dengan filem seram pertama itu, Hashim sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengemudi filem bergenre seram Kelibat, yang bakal menemui penonton pada 6 November depan.

Mengisahkan kejadian yang menimpa sebuah keluarga yang mengalami muflis, pastinya jalan cerita ini jauh berbeza dengan karyanya sebelum ini yang boleh mengundang tawa dan tangis penonton.

Akui pengarah terkenal ini, bukan mudah untuk membawa elemen seram dalam penceritaan agar penonton dapat menikmati apa yang ingin disampaikan.

"Untuk filem ini, ia bukanlah satu filem seram semata-mata. Ia adalah filem seram yang berbeza di mana ianya lebih menceritakan mengenai perasaan apabila takut, sedih dan marah di gumpal dalam satu cerita.

"Sebelum ini, saya lebih sinonim dengan filem genre romantik dan genre seram bukanlah genre sebenar saya. Selain memastikan untuk dapat hasil yang menarik, saya turut mendapatkan maklum balas dari orang sekeliling.

"Saya akan bertanya adakah ianya memberi unsur seram atau tidak agar tidak mengecewakan penonton. Lagipun, ia adalah pengalaman baharu saya," katanya yang sebelum ini telah menghasilkan beberapa filem termasuk 3 Temujanji, Longkai dan Papa I Love U.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment