Saturday 18 October 2014

Abu Sayyaf bebaskan dua tahanan warga Jerman

Stefan Okonek dan Henrike Dielen dibebaskan di Pulau Jolo, Filipina - Foto oleh AFP /WESMINCOM

PULAU JOLO: Dua warga Jerman yang diculik dan ditahan kumpulan Abu Sayyaf sejak enam bulan lalu, dibebaskan pada Jumaat.

Stefan Okonek dan Henrike Dielen dibebaskan di Pulau Jolo, Filipina selepas kumpulan itu menerima wang tebusan berjumlah AS$5.6 juta (RM18 juta)

Pembebasan kedua-dua tahanan tersebut disahkan Setiausaha Pertahanan Filipina, Voltaire T. Gazmin.

Jurucakap Abu Sayyaf memberitahu stesen radio DXRZ di selatan Bandar Zamboanga bahawa kumpulan tersebut telah menerima wang tebusan tersebut namun enggan mendedahkan identiti individu yang menghantar wang berkenaan.

Jurucakap itu juga memberitahu Okonek dan Dielen diserahkan kepada seorang perunding di Perkampungan Patikul, iaitu kubu kuat Abu Sayyaf.

Beberapa jam sebelum kedua-dua warga Jerman itu dibebaskan, kumpulan Abu Sayyaf dilaporkan mengugut untuk memenggal kepala salah seorang mangsa, sekiranya wang tebusan tidak dibayar.

Kedua-duanya diculik dari sebuah kapal layar ketika berada antara perairan Sabah dan wilayah Palawan.

Mereka kemudiannya dibawa ke wilayah Sulu, iaitu kira-kira 950 kilometer ke selatan Manila.

Selain tuntutan wang tebusan, kumpulan Abu Sayyaf turut mendesak Jerman berundur daripada Pakatan Amerika Syarikat untuk menyerang kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria dan Iraq.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment