Saturday 27 September 2014

Tarian jadi taruhan


AKTOR kacak, Hrithik Roshan mungkin tidak memiliki pesona seperti trio Khan, namun dia ada kelebihannya yang tersendiri terutama terhadap bakat lakonan dan kebolehannya menari dengan baik.

Malah, 2000 adalah tahun cemerlang buat pelakon ini apabila berjaya menggondol Aktor Baru Terbaik dan Aktor Terbaik sekali gus di Anugerah FilmFare 2001 menerusi wataknya Rohit/Raj Chopra dalam filem Kaho Naa Pyaar Hai.

Ternyata, gerakan tarian pemilik nama sebenar Hrithik Rakesh Nagrath itu menjadi kunci utama kejayaan filem berkenaan.

Sejak itu, bintangnya semakin bersinar dan hampir semua filem lakonannya mendapat sambutan yang memberangsangkan seperti Fiza, Mission Kashmir, Kabhi Kushi Kabhie Gham, Mujhse Dosti Karoge, Koi Mil Gaya, Main Prem Ki Diwani Hoon dan Lakhsya.

Biarpun ada masanya, Hrithik turut berdepan dengan detik sukar apabila filemnya gagal, namun itu tidak sama sekali membuatkannya gentar.

Bahkan, aktor berusia 40 tahun itu kemudiannya bangkit menerusi filem pecah panggung seperti Jodhaa Akhbar, Dhoom 2, Krrish dan Kites.

Demi mengembangkan lagi kerjaya seninya, Hrithik turut memulakan karier lakonannya di kaca televisyen apabila muncul dalam siri TV, Just Dance pada 2012.

Terbaru, pelakon tampan itu dilaporkan bakal memecahkan rekod sebagai aktor bayaran tertinggi di Bollywood apabila dikatakan mendapat bayaran sehingga 50 Kror (RM2 juta) daripada sutradara Ashutosh Gowariker menerusi filem terbarunya, Mohenjo Daro.

Bagaimanapun, akui Hrithik, setiap kejayaannya itu sebenarnya sangat berharga dan ‘mahal’.

Masakan tidak, di sebalik kejayaan yang di kecapinya itu, dia perlu melakukan pengorbanan besar terhadap kehidupan realitinya.

Tahap kesihatannya semakin memburuk manakala perkahwinannya dengan Suzanne Khan menemui titik kegagalan selepas 13 tahun mendirikan rumah tangga.
“Berjaya itu mahal,” katanya ringkas.

Lelaki Asia paling seksi

Ada antara selebriti yang disaksikan di layar perak atau layar kaca pada hari ini asalnya tidak bertubuh sasa, sebaliknya mereka mengambil inisiatif membina otot sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam industri lakonan.

Teknik bina badan ini diamalkan sebagai aset untuk melariskan kerjaya di samping mengekalkan populariti dan pelakon kelahiran Mumbai, Maharashtra, India ini adalah salah seorang aktor yang turut terkena tempiasnya.

Pada masa sama, pelakon ini turut menderita masalah tulang belakang sehingga dinasihatkan supaya berhenti menari atau mengangkat beban berat.

Begitu pun, pengorbanannya itu seakan berbayar apabila dia dinobatkan sebagai Lelaki Asia Paling Seksi menerusi Anugerah Hit Agneepah, di London.

Bagaimanapun, Hrithik meluahkan rasa agak malu ketika menerima anugerah tersebut.

“Apa sekalipun, saya tetap menghargai dan bersyukur dengan anugerah yang diterima.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment