Saturday 27 September 2014

Ditangkap: 3 lelaki sertai kumpulan pengganas di Syria

Khalid sahkan penangkapan tiga lelaki sertai kumpulan pengganas di Syria.

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penangkapan tiga lelaki warga tempatan kelmarin, disyaki merancang untuk berlepas ke Syria bagi tujuan menyertai kumpulan pengganas Negara Islam (IS) di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Beliau berkata dua daripada suspek yang ditangkap berumur 26 tahun dan masing-masing bekerja sebagai juruteknik dan arkitek, manakala seorang lagi suspek, 42, mengendalikan perniagaan kedai runcit.

Menurut Khalid, pihaknya turut merampas sehelai bendera kumpulan pengganas IS milik seorang daripada suspek itu.

"Kesemua mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA, kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan dan siasatan mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012," kata Khalid dalam kenyataan semalam.

Katanya pihak polis akan terus mengambil tindakan pencegahan di bawah undang-undang sedia ada ke atas mana-mana rakyat Malaysia yang dikesan merancang untuk berlepas ke Syria menyertai kumpulan pengganas IS.

"Polis menasihatkan masyarakat umum supaya memantau aktiviti anggota keluarga mereka dan masyarakat sekeliling agar dapat mengesan dan mencegah sebarang usaha rakyat Malaysia terutamanya belia-belia menyertai kumpulan pengganas IS," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perancangan mana-mana individu atau kumpulan yang ingin menyertai kumpulan pengganas IS, sila hubungi pegawai penyiasat Insp Mohd Hazil Azhar dari bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas di talian 03-22665673 atau 011-21046850 atau melalui email ctd.e8m@gmail.com.

-- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment