Saturday 27 September 2014

Pencarian penuh misteri

Pencarian penuh misteri

JIKA anda mengetahui bapa anda masih hidup dan hanya memori mengenai sebuah rumah di ingatan, padahal rumah tersebut tidak lagi berpenghuni, sanggupkah anda untuk masuk dan bermalam di rumah tersebut demi mencari jawapan di mana ayah anda berada?

Begitulah antara ringkasan filem terbaru, Dark House. Biarpun sebelum ini ada sebuah lagi filem bertajuk serupa ditayangkan pada 2009, namun ia adalah dua cerita yang berlainan.

Kali ini ia mengisahkan seorang lelaki bernama Nick Di Santo boleh mengetahui bagaimana seseorang individu itu meninggal dunia hanya melalui sentuhan.

Nick telah menemui ibunya dan mendapat tahu bapa kandungnya masih hidup dan membuat keputusan untuk berjumpa dengan lelaki tersebut bersama rakan-rakannya.

Namun sepanjang perjalanan ke sana dia bersama dua orang rakannya telah terperangkap dalam satu perjalanan yang mendebarkan dan menyeramkan.

Filem arahan Victor Salva, membariskan barisan pelakon seperti Luke Kleintank, Alex McKenna, Anthony Rey dan ramai lagi.

Secara keseluruhannya, filem ini bergerak dengan agak perlahan, namun meninggalkan 1001 tanda tanya; iaitu bagaimana Nick mendapat kuasanya dan mengapa ibunya dimasukkan ke hospital.

Seterusnya, penonton juga pasti akan tertanya mengenai siapakah suara yang bercakap dengan ibunya di sebalik pendinding bilik dan siapakah Seth yang menjaga rumah lama yang bermain di ingatan Nick.

Pencarian penuh misteri ini akan membuatkan anda juga rasa ngeri dan takut, lebih-lebih lagi dengan kemunculan sekumpulan lelaki misteri yang memegang kapak dan berlari seperti cimpanzi.

Bagaimanapun pada pandangan penulis, penulis hanya berasa berdebar ketika kemunculan lelaki misteri tersebut dan tidak pada masa-masa lain, biarpun mereka berada di dalam rumah agam tersebut.

Lakonan bersahaja

Dari aspek kesan bunyi, senimatografi dan pencahayaan, ia sememangnya bersesuaian dengan sebuah filem seram. Tetapi tidak berapa menjadi dari aspek lakonan.

Meletakkan pelakon yang kurang dikenali membuatkan mereka kurang berjaya menyampaikan watak dan lakonan mereka dengan baik.

Namun, hanya McKenna yang membawakan watak Eve iaitu kekasih kepada Nick, berjaya bermain dengan emosi dan ada ketikanya, lakonannya nampak lebih cemerlang berbanding Kleintank (Nick) yang membawakan watak utama.

Begitu juga dengan kehadiran Bell yang membawakan watak Seth dan juga bertindak sebagai ketua kepada kumpulan lelaki misteri tersebut.

Biarpun Bell hanya tampil untuk beberapa babak, namun lakonannya cukup berkesan dan tidak keterlaluan mengatakan, anda akan mengingati lakonannya biarpun sudah meninggalkan pawagam.

Bagaimanapun tolak ke tepi masalah kecil lain, kerana penulis harapkan sekuel Dark House selepas ini akan digarap lebih baik (jika ada). Memandangkan riwayat hidup Nick tidak berakhir begitu sahaja kerana Nick sudah mempunyai pewaris menerusi Eve.

Apakah yang akan berlaku seterusnya? Siapakah kumpulan lelaki berkapak itu? Mengapa Seth sangat menjaga rumah itu? Siapa sebenarnya bapa Nick? Jangan lupa menyaksikan filem ini di pawagam.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment