Saturday 27 September 2014

Adiwira dalam dunia nyata



SELAMA ini, kita sering mengaitkan adiwira dengan filem-filem fantasi. Namun bagaimanakah jika seorang adiwira benar-benar wujud dalam dunia nyata?

Lebih menarik, adiwira tersebut tidak perlu memakai apa-apa sut untuk menunjukkan dia seorang adiwira, sebaliknya berpakaian kemas seperti seorang polis.

Begitulah serba sedikit gambaran mengenai filem terbaharu arahan Antoine Fuqua iaitu The Equalizer.

Filem yang diangkat daripada drama bersiri popular sekitar tahun 80-an, menampilkan barisan pelakon seperti Denzel Washington, Marton Csokas, Chloƫ Grace Moretz, David Harbour, Bill Pullman, dan Melissa Leo.

Bagi anda yang meminati filem aksi, atau pernah menjadi sebahagian daripada peminat siri TV, The Equalizer yang cukup popular sekitar tahun 80-an, maka anda wajib menonton filem ini.

Filem yang menampilkan Danzel Washington sebagai watak utama iaitu Robert McCall mengisahkan kehidupan McCall yang mahu memulakan kehidupan baru selepas melalui kehidupan yang kasar pada masa silamnya dan banyak melakukan kesalahan.

Dia yang kemudiannya bekerja sebuah pasaraya, Home Mart. Pada setiap malam, dia akan pergi makan malam di sebuah restoran dan secara tidak sengaja bertemu dengan seorang gadis bernama Teri (Chloe Grace Moretz).

Teri pula merupakan seorang gadis pengiring yang bekerja di bawah kawalan gengster Rusia. Teri tidak menyukai pekerjaannya dan McCall sering memujuk Teri untuk melarikan diri daripada kumpulan berkenaan.

Namun suatu hari, Teri di pukul teruk oleh kumpulan mafia terbabit dan menyebabkan McCall nekad untuk menyelamatkan gadis tersebut dan menggunakan segala pengalaman yang ada untuk membantu Teri.

Secara keseluruhan, apa yang boleh penulis katakan mengenai filem ini, ia adalah sebuah filem aksi yang cukup menarik untuk ditonton.

Bukan sahaja menampilkan aksi pertarungan yang mantap, namun anda akan melihat pertumpahan darah dan bagaimana cara McCall membunuh geng mafia tersebut dalam satu tempoh yang singkat.

Malah cara McCall membunuh juga tidak sekadar bergantung kepada penggunaan senjata semata-mata tetapi juga beberapa alatan lain.

Apa yang pasti, anda akan melihat percikan darah yang tampak 'real' dan jika anda lemah, ia mungkin membuatkan anda terasa seperti hendak muntah.

Namun bukan keganasan semata-mata yang ditampilkan di dalam filem ini, tetapi juga Fuqua turut menyelitkan bagaimana McCall memberi peluang kepada mereka yang jahat untuk berubah terlebih dahulu.

Washington bersahaja

Selain itu, antara lain yang menarik perhatian penulis adalah lakonan mantap Washington di dalam filem ini.

Tanpa perlu mimik muka atau lakonan yang berlebihan, Washington tampak bersahaja dalam mengekspresikan karakter McCall yang sebenarnya penuh dengan sejarah.

Bahkan biarpun agak berusia dan berisi, Washington membuktikan, seorang hero tidak semestinya memerlukan lelaki kacak dan berbadan sasa.

Tetapi apa yang penting adalah kredibiliti dan karisma yang tersendiri.

Tambahan pula, dengan sinematografi dan gerak kerja kamera yang cukup menarik, di tambah dengan kesan bunyi yang baik membuatkan The Equalizer berada di dalam kelas tersendiri.

Justeru, bagi anda yang dahagakan sebuah filem aksi yang menarik, jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment