Wednesday 6 August 2014

Sebelas rakyat Malaysia dipindahkan dari Libya

Kerajaan Malaysia telah memindahkan 11 rakyat Malaysia, termasuk lapan pelajar, dua pegawai Kedutaan dan seorang ahli perniagaan dari Tripoli ekoran keadaan keselamatan yang semakin buruk di Libya kerana konflik dalaman. - Foto Fail

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia telah memindahkan 11 rakyat Malaysia, termasuk lapan pelajar, dua pegawai Kedutaan dan seorang ahli perniagaan dari Tripoli ekoran keadaan keselamatan yang semakin buruk di Libya kerana konflik dalaman.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman berkata proses pemindahan itu telah dijalankan dari Tripoli ke Tunis melalui Lapangan Terbang Misurata Tunisia pada 3 Ogos.

"Mereka kemudiannya akan diterbangkan ke Malaysia dan dijangka tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Beliau berkata terdapat seramai 28 rakyat Malaysia yang tinggal di Libya termasuk 11 pelajar, 15 adalah pekerja sektor swasta dan dua pegawai Kedutaan.

"Daripada 11 orang pelajar, seorang telah meninggalkan Libya lebih awal untuk menyambut Hari Raya di Malaysia manakala dua orang pelajar telah membuat keputusan untuk terus berada di Libya dan kebajikan mereka dijaga oleh kolej mereka (International Islamic Call College).

"Kedua-dua pelajar itu telah dipindahkan ke tempat yang lebih selamat dipanggil Zawiyah, kira-kira 30 kilometer dari Tripoli.

"Rakyat Malaysia yang lain yang bekerja di sektor swasta Libya telah dinasihatkan untuk berpindah secepat mungkin dan majikan masing-masing sedang menjaga keselamatan dan kesejahteraan mereka," katanya.

Anifah berkata kementeriannya bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Konsul Kehormat Malaysia di Tunisia untuk memastikan proses pemindahan itu berjalan dengan lancar.

"Dengan pemindahan ini, Kedutaan Malaysia di Tripoli kini ditutup buat sementara waktu. Dalam konteks ini, Kedutaan Besar Malaysia di Algeria telah ditetapkan untuk menjaga kepentingan Malaysia di Libya.

"Kementerian Luar Negeri akan terus memantau dengan rapi perkembangan di Libya. Semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk tidak menjalankan apa-apa perjalanan ke Libya, "katanya.

-- Media Statement via Astro Awani

No comments:

Post a Comment