Wednesday, 6 August 2014

NGO kesal orang ramai ganggu premis McDonald's



Astro Awani | Kemas kini: Ogos 06, 2014 (Diterbitkan pada: Ogos 06, 2014 11:26 MYT)
Aqsa Syarif kesal dengan insiden yang berlaku di premis McDonald's di Dungun. Sumber: Twitter/@AidaSue

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aqsa Syarif memohon orang ramai yang menyokong kempen boikot barangan Israel supaya mengawal diri dan tidak melanggar batas undang-undang dalam menjayakan kempen itu sebagai menunjukkan rasa simpati terhadap penderitaan penduduk Palestin di Gaza.

Pengerusinya Dr Hafidzi Mohd Noor merujuk kepada kejadian premis McDonald’s (McD) di Dungun pada 5 Ogos di mana sekumpulan orang ramai mengganggu premis McD dan membaling objek keras serta menggoncang pintu kedai restoran berkenaan.

“Tindakan liar dan melampau ini tidak tergolong sebagai menyokong inisiatif boikot, sebaliknya lebih mirip kepada perbuatan merosakkan harta awam (vandalism),” kata Dr. Hafidzi.

Tambah beliau, sungguhpun boikot adalah hak pengguna melakukan tindakan sivil sebagai tekanan namun ia tidak mewajarkan seseorang itu bertindak secara fizikal atau lisan untuk menakut-nakutkan serta mendatangkan kecederaan batang tubuh atau emosi pada pemilik premis dan pekerjanya.

“Perbuatan tidak bertamadun ini tidak wajar dibiarkan begitu sahaja kerana ia bertentangan dengan tata susila, akhlak Islam dan lunas undang undang,” katanya.

NGO berkenaan turut menasihatkan agar tidak diadakan sebarang bentuk demonstrasi atau perhimpunan di hadapan atau berhampiran mana-mana premis yang berkaitan.

“Aqsa Syarif menyarankan orang ramai menghubungi pihak polis jika perbuatan ganas seperti ini berulang lagi,” katanya.

Serangan kejam rejim Zionis ke atas Palestin yang bermula pada 8 Julai lalu mengakibatkan kematian ribuan rakyat Palestin dan menimbulkan gesaan pelbagai pihak agar orang ramai memboikot produk-produk yang didakwa memberi sumbangan kepada tabung perang Israel.

Kempen boikot bukan sahaja dilakukan di Malaysia tetapi di seluruh dunia, terutama sekali di negara majoriti penduduknya adalah beragama Islam.

Namun, di sebalik kempen boikot, terdapat beberapa insiden yang dilaporkan di media sosial di mana kakitangan makanan segera dan kafe jenama antarabangsa diserang. 

Berikut merupakan antara perbualan hangat di media sosial ketika ini:


All this McDonalds hate is getting REALLY stupid. Nak boycott, pilihan peribadi. Tapi maki hamun orang tak boikot satu hal.— klubbkidd™ (@klubbkiddkl) August 5, 2014
Sekarang mengganggu premis perniagaan dan menganggu pelanggan perniagaan. Kurang cerdik.— klubbkidd™ (@klubbkiddkl) August 5, 2014
staff starbucks kene ludah sbb boikot?salah cara boikot bang— rd (@RDisRaden) August 5, 2014
But boikot itu perlu, just perlu berhemah. Jangan lah kau ludah mahupun maki hamun pekerja McD or Starbucks Malaysia. Mereka hanya bekerja.— ナビル (@nabilnabihah7)August 5, 2014 
@syithmukhtar yang kes ludah staff starbucks & simbah coke kat orang makan McD tu dah biadap sangat..bikin panas je dengar— WONDERPITT (@Wonderpitt) August 5, 2014 
Bagus kalau boleh berikan peluang kerja kepada orang kerja kat mcd ,tapi kalau x boleh Jgn maki depa la . Simple— Pradeesh (@prasys)August 5, 2014

Jenama antarabangsa seperti Tesco Malaysia sebelum ini tampil ke hadapan untuk menafikan mereka menyalurkan hasil jualan atau keuntungan daripada pasaraya-pasarayanya untuk tujuan menyokong Israel.
- Bernama

No comments:

Post a Comment