Pakatan Rakyat dan Parti Keadilan Rakyat PKR) perlu mendedahkan kepada umum bilakah sebenarnya parti itu mula mengesan salah laku yang didakwa dilakukan oleh Menteri Besar Selangor.
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mendedahkan kepada umum bilakah sebenarnya parti itu mula mengesan salah laku yang didakwa dilakukan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana isu-isu itu bukan lagi masalah parti itu tetapi melibatkan kepentingan rakyat, kata aktivis sosial, Kua Kia Soong.
Beliau juga membangkitkan persoalan apakah Pakatan Rakyat dan PKR akan menutup semua dakwaan itu sekiranya Khalid berjaya disingkirkan daripada jawatannya sekarang.
Sambil menyifatkan isu ini sudah sampai ke peringkat "tidak ada patah balik", Kia Soong berkata "rakyat Malaysia tidak akan menerima tuduhan serius ini ditarik balik sekiranya Khalid letak jawatan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat Selangor dan seluruh negara."
Beliau membangkitkan persoalan-persoalan itu dalam satu kenyataan terbuka yang disiarkan oleh beberapa portal berita.
Penasihat Suaram yang juga bekas wakil rakyat DAP itu turut bertanya apakah dakwaan salah laku itu hanya diketahui selepas pilihan raya umum ke-13 kerana Khalid dilantik semula memegang jawatan itu selepas pilihan raya tersebut.
"Bagaimana Rafizi yang selalu membuat pendedahan terlepas semua dakwaan salah laku itu? Adakah Rafizi hanya membuat pendedahan yang berpilih?" tanya Kia Soong, merujuk kepada Ahli Parlimen Pandan yang juga Ketua Strategik PKR, Rafizi Ramli.
Rafizi sebelum ini membuat beberapa pendedahan mengenai dakwaan salah laku melibatkan pemimpin Barisan Nasional termasuk soal dana projek ternakan lembu, National Feedlot Corporation (NFCorp) yang dikaitkan dengan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Kia Soong juga bertanya apakah Naib Presiden PKR, Tian Chua tidak tahu tentang isu-isu itu atau apakah dia merasakan isu itu tidak serius kerana beliau dilaporkan mencadangkan Khalid boleh dilantik sebagai penasihat ekonomi negeri sekiranya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail jadi menteri besar.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution pada Selasa menyerahkan kepada PAS sepucuk surat yang mendedahkan beberapa dakwaan yang menggariskan kenapa Khalid tidak lagi layak jadi menteri besar Selangor.
Khalid pada Isnin mencabar Saifuddinsupaya mengemukakan tuduhan-tuduhan itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan membuat laporan polis. Tegas Khalid, beliau sedia disiasat berhubung semua dakwaan itu.
Krisis melibat jawatan Menteri Besar Selangor ini mula hangat selepas PRU13 dimana, Abdul Khalid yang sebelum ini dianggap sebagai seorang pentadbir yang cekap mula didakwa banyak memberi masalah.
Abdul Khalid dikatakan banyak membuat keputusan tanpa merujuk kepada pimpinan PKR dan Pakatan Rakyat dan ianya dikatakan lebih menguntungkan Barisan Nasional.
Mesyuarat Biro Politik PKR pada Januari lalu memutuskan supaya Abdul Khalid mengosongkan jawatannya sebagai menteri besar.
PKR kemudiannya menyusun strategi yang dinamakan sebagai 'Langkah Kajang' dengan dalam usaha untuk melantik menteri besar baharu.
Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR mendakwa 'Langkah Kajang' - yang pada asalnya meletakkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon - merupakan strategi awal untuk menawan Putrajaya pada PRU14 akan datang.
Namun, Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah atas tuduhan meliwat pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan enam tahun lepas.
Keputusan itu membuatkan Anwar tidak dapat bertanding dalam pilihan raya kecil Dun Kajang dan tempatnya diganti oleh isteri beliau yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
'Langkah Kajang' diteruskan dan Wan Azizah memenangi kerusi Dun itu tetapi Abdul Khalid tetap tidak melepaskan jawatannya.
Desakan demi desakan dibuat tetapi Abdul Khalid terus berdegil dan menyatakan beliau akan terus memegang jawatan tersebut hingga tamat penggal ini.
PKR akhirnya menamakan Wan Azizah sebagai calon menteri besar yang baharu bagi menggantikan Abdul Khalid.
Namun hasrat PKR tidak mendapat sokongan PAS menerusi kenyataan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan pihaknya tetap mahukan Abdul Khalid kekal sebagai Menteri Besar Selangor.
Ketegasan Abdul Hadi itu mendapat sokongan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekaligus dilihat menyukarkan hasrat PKR.
PKR akhirnya menyediakan laporan setebal 24 halaman yang menyenaraikan enam alasan mengapa Abdul Khalid perlu disingkirkan.- Astro Awani
No comments:
Post a Comment