Wednesday 6 August 2014

Risiko penularan virus Ebola di Malaysia rendah


Risiko penularan virus Ebola di Malaysia rendah, kata Dr Subramaniam


Risiko penularan virus Ebola (EVD), sejenis penyakit demam berdarah yang boleh membawa maut, di Malaysia masih rendah memandangkan penularannya kini hanya berlaku di Afrika Barat, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam (gambar).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sehingga 4 Ogos, sejumlah 1,603 kes termasuk 887 kematian dilaporkan dari empat buah negara di Afrika Barat iaitu Guinea, Liberia, Sierra Leone dan Nigeria.

"Jika mereka hendak datang ke Malaysia, tidak ada penerbangan langsung. Biasanya mereka akan datang menerusi Timur Tengah sebagai pusat utama," katanya.

Beliau berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilengkapi mekanisme imbasan suhu bagi mengimbas suhu badan penumpang.

Bercakap kepada media sebelum mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di Putrajaya hari ini, Dr Subramaniam berkata kementeriannya akan bertindak segera untuk mencegah dan mengawal penularan sekiranya kes import dikesan.

Sehingga kini, katanya, tidak terdapat notifikasi mengenai kes EVD di Malaysia.

Dr Subramaniam menjelaskan penyakit itu hanya menular melalui dua kaedah, iaitu dari binatang yang dijangkiti EVD kepada manusia.

Dan daripada manusia yang dijangkiti kepada orang lain iaitu anggota keluarga terdekat, doktor atau jururawat yang merawat serta mereka yang menguruskan pengebumian mayat mangsa tersebut, katanya.

“Bukan mereka yang duduk di pejabat atau kapal terbang sebab ia perlu ada kontak yang intim, bendalir tubuh daripada orang yang dijangkiti," katanya. – Bernama, 6 Ogos, 2014.

No comments:

Post a Comment