Monday, 4 August 2014

Polis keluarkan 100 saman kepada pemandu bas kilang mogok

Keadaan di CIQ pada 1 Ogos lalu - Gambar Fail

JOHOR BAHRU: Polis Johor hari ini mengesahkan pihaknya telah mengeluarkan 100 saman terhadap pemandu-pemandu bas kilang yang terlibat dengan kejadian mogok di Kompleks Bangunan Sultan Iskandar (CIQ), Johor Bahru pada 1 Ogos lalu bagi membantah kenaikan kadar tol.

Selain saman, polis juga turut membuka satu kertas siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung kejadian terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Supritendan Mohd. Nadzir Ghulam Kadir berkata, kesemua saman terbabit dikeluarkan terhadap pemandu terbabit mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan menghalang lalu lintas.

Katanya, pemandu-pemandu terbabit disaman kerana bertindak meninggalkan bas masing-masing di laluan masuk tol di Kompleks CIQ sekali gus menyebabkan lalu lintas di pintu keluar Malaysia menghala ke Singapura sesak.

“Keadaan ini amat mengecewakan dan tidak boleh dibiar. Pihak polis sudah mengambil tindakan, satu laporan dibuat bagi tujuan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka terlibat. Satu kertas siasatan juga dibuka bagi tujuan itu. Selain itu semua kenderaan yg merupakan bas kilang yang beratur di kiri kanan laluan tersebut telah dikenakan saman,” kata Mohd Nadzir.

Menurut Mohd Nadzir lagi, pihaknya telah memanggil beberapa pemandu bas terbabit untuk disoal-siasat.

Katanya, kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya bagi tindakan lanjut.

Pada 1 Ogos lalu, laluan di pintu masuk CIQ itu sesak selama empat jam bermula pukul 4.00 pagi berikutan tindakan pemandu-pemandu bas kilang yang mogok dan enggan memasuki Singapura kerana tidak berpuas hati dengan kadar tol baharu yang dikenakan kerajaan.

Tindakan tersebut menyebabkan ratusan pekerja terpaksa berjalan kaki sejauh lebih 1.5 kilometer di Tambak Johor untuk masuk ke Singapura.

Pada 26 Julai lalu, kerajaan menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan kadar tol baharu di kompleks CIQ di kedua-dua arah keluar dan masuk bagi semua jenis kenderaan kelas 1 hingga 5 yang berkuatkuasa 1 Ogos 2014.

Kadar baharu tol bagi laluan masuk ke Malaysia masing-masing ialah bermula dari RM4.80 sehingga RM19.70 manakala kadar tol keluar pula bermula dari RM5.50 hingga RM13.60.

Kadar tol lama bagi laluan masuk ke Malaysia bagi kenderaan kelas 1 hingga kelas 5 ialah RM2.90, RM4.50, RM6.10, RM1.40 dan RM2.30 manakala tiada bayaran yang dikenakan bagi kenderaan keluar menghala ke Singapura. -- Astro Awani

No comments:

Post a comment