Monday, 4 August 2014

Israel umum gencatan senjata kemanusiaan 7 jam di Gaza

Genjatan senjata akan dilaksanakan di semua bahagian di Gaza kecuali di imur Rafah - EPA/OLIVER WEIKEN

BAITUL-MAQDIS: Tentera Israel mengumumkan akan melaksanakan gencatan senjata kemanusiaan selama tujuh jam di Semenanjung Gaza hari ini, tindakan terbaharu selepas hampir empat minggu konflik Israel-Palestin berlangsung.

Menurut kenyataan tentera Israel, gencatan senjata akan bermula pada 0700 GMT (3 petang waktu Malaysia) dan berakhir pada 1400 (10 malam waktu Malaysia).

Ia akan dilaksanakan di semua bahagian kecuali di timur bandar Rafah dengan alasan masih ada pertempuran yang berlangsung dan wujud kehadiran tentera rejim di situ.

Bagaimanapun pemimpin tentera rejim Israel di Tebing Barat dan Gaza Yoav Mordechai memberikan amaran yang pihaknya akan membalas sebarang serangan sekiranya dilancarkan sepanjang gencatan senjata itu dilaksanakan.

Mordechai juga menggesa dua penduduk perkampungan di Abasan al Kabira dan Abasan al Saghira di wilayah Khan Yunis ke selatan Gaza untuk pulang ke kediaman mereka bermula 0500 GMT (1 petang waktu Malaysia).

Sementara itu tentera Israel dilaporkan mula mengundurkan sebahagian anggota tenteranya termasuk sejumlah kereta kebal dari Gaza.

Bagaimanapun ia masih melancarkan beberapa serangan udara ke atas wilayah Palestin itu.

Pengunduran dilaksanakan ketika perdana menteri rejim, Benjamin Netanyahu berikrar untuk meneruskan operasi ketenteraan ke atas Gaza walaupun mengambil tempoh lama dan menggunakan sebanyak mana kekuatan yang diperlukan.

Katanya, tentera rejim zionis mencapai kejayaan besar dalam memusnahkan infrastruktur milik Hamas.

Bagaimanapun jurucakap Hamas, Fawzi Barhum berkata Netanyahu keliru terhadap krisis sebenar yang dihadapinya.

Hamas juga kata Fawzi tidak akan mengalah dan meneruskan penentangan terhadap penjajah Yahudi sehingga misi tercapai. - Agensi

No comments:

Post a Comment