Monday 4 August 2014

Wanita warganegara China dilarikan dan dirogol bergilir-gilir

Seorang wanita warganegara China dilarikan sekumpulan lelaki sebelum dirogol bergilir-gilir di Butterworth.

PULAU PINANG: Seorang wanita warganegara China berusia 20 tahun dilarikan sekumpulan lelaki ketika berhenti di kawasan rehat jambatan Pulau Pinang awal pagi ini, sebelum dirogol bergilir-gilir di sebuah kawasan gelap di Butterworth.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 3.30 pagi itu, wanita terbabit dirogol bergilir-gilir oleh tiga daripada suspek.

Difahamkan sebelum kejadian mangsa menaiki kereta yang dipandu oleh rakan lelakinya yang berusia 49 tahun dalam perjalanan menghala ke arah Butterworth selepas mereka pulang dari berhibur di sebuah pusat hiburan di George Town.

Rakan lelaki mangsa berhenti di kawasan rehat berkenaan kerana mahu membuang air sementara mangsa menunggu di dalam kereta.

Bagaimanapun, ketika berada di dalam kereta, mangsa dihampiri empat lelaki yang berpura-pura bertanya arah jalan sebelum menumbuk lelaki berkenaan.

Suspek kemudian melarikan kereta terbabit bersama wanita berkenaan sebelum dibawa ke sebuah kawasan gelap sebelum dirogol.

Wanita berkenaan kemudian dibawa menggunakan motosikal milik suspek sebelum ditinggalkan di sebuah stesen minyak di Sungai Dua.

Mangsa kemudian mendapatkan bantuan orang ramai untuk dihantar ke balai polis bagi membuat laporan berhubung kejadian.

Kedua-dua mangsa turut mengalami kerugian sebanyak RM1,000 dalam bentuk wang tunai selain telefon bimbit dirampas suspek.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Nasir Saleh yang mengesahkan kejadian tersebut, berkata pihak polis kini sedang melakukan siasatan bagi mengesan keempat-empat suspek berkenaan. - Astro Awani 

No comments:

Post a Comment