Wednesday 13 August 2014

Khabar angin terdapat kes Ebola di Malaysia palsu

Virus Ebola

KUALA LUMPUR: Laporan kononnya terdapat satu kes jangkitan Ebola di negara ini yang tersebar di laman sosial termasuk Facebook adalah tidak benar dan hanya khabar angin, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sehingga kini tiada sebarang kes kuarantin bagi penyakit itu dilakukan.

Dr Noor Hisham menyelar tindakan menyebar khabar angin itu dan menyifatkannya sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.

"Risiko penularan Ebola ke Malaysia amat rendah. Jangan sebar berita palsu," katanya menerusi akaun Twitter.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyebaran mesej serta gambar seorang kanak-kanak yang dikatakan mengalami gelembung air pada bahagian kaki dipercayai akibat jangkitan awal Ebola.

Ebola ialah penyakit demam berdarah yang mencatat kadar kematian tinggi dan boleh menjangkiti manusia serta haiwan primat seperti monyet.

Sejak mula dikesan di tiga negara Afrika Barat iaitu Sierra Leone, Liberia dan Guinea pada Mac lalu, Ebola telahpun meragut lebih 1,000 nyawa. - Bernama

No comments:

Post a Comment