Wednesday, 13 August 2014

Barang kemas disamun 'penghantar surat'

BUKIT MERTAJAM - Seorang wanita kerugian lebih RM6,000 apabila barang kemasnya dilarikan seorang lelaki yang menyamar sebagai penghantar surat di rumahnya di Taman Bukit Kechil, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata dalam kejadian 11 pagi itu, wanita berusia 40-an itu didatangi seorang lelaki yang mendakwa mahu menghantar surat penting didaftarkan atas nama anak perempuannya.

"Lelaki itu meminta wanita berkenaan menyerahkan salinan dokumen kad pengenalannya kepada dia sebagai pengesahan telah menjalankan tugasnya dan suami mangsa yang ketika itu berada di rumah bersetuju untuk membuat salinan.

"Suami dan lelaki itu keluar ke kedai berhampiran untuk membuat salinan kad pengenalan tetapi suspek berpatah balik ke rumah mangsa dengan alasan tertinggal barang," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki itu mengacukan pisau dan mengarahkan wanita berkenaan diam serta menyerahkan barang kemas miliknya.

Rusli berkata usaha mengesan lelaki berusia 20-an itu giat dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan suspek turut terlibat dalam beberapa kejadian serupa yang dilaporkan di daerah itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment