Friday 22 August 2014

Jenazah mangsa nahas MH17 disambut penuh istiadat

Antara anak kapal MH17 yang turut menunggu ketibaan jenazah dari Amsterdam di KLIA pada Jumaat - Foto Astro AWANI / HILAL AZMI

KUALA LUMPUR: Kumpulan pertama jenazah mangsa nahas pesawat penerbangan MH17 selamat tiba di tanahair hampir 40 hari selepas insiden yang mencampakkan negara ke dalam tragedi berganda melibatkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines.

Jalur Gemilang di seluruh negara dikibarkan separuh tiang bagi mengenang semua 298 penumpang dan anak kapal dan secara khusus 43 anak watan yang menaiki pesawat malang yang terhempas selepas ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Kumpulan pertama ini melibatkan 20 jenazah penumpang dan anak kapal yang telah dikenal pasti identiti mereka serta mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Belanda untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Istiadat penghormatan jenazah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur disertai oleh Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta dif-dif kehormat dan orang kenamaan. Istiadat dikelolakan oleh Briged ke-12 Infantri Malaysia melibatkan 450 orang anggota.

Pesawat khas MAS yang berlepas dari Schipol pada pukul 9.40 malam Khamis waktu Malaysia mendarat di KLIA tepat pukul 9.54 pagi tadi.

Sejurus kemudian, satu demi satu keranda dibawa turun dengan hormat dan cermat oleh kumpulan pengusung terdiri daripada sembilan orang.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment