AMIR: MAIM akan menempatkan Siti Hajar secara sementara di sebuah asrama. - Sumber Facebook
AYER KEROH: Seorang ibu tunggal terpaksa tinggal di dalam kereta selama dua minggu gara-gara tidak mampu untuk membayar sewa rumah.
Lebih menyedihkan, apabila Siti Hajar Ismail, 35, terpaksa menjadikan kereta jenis Perodua Kancil miliknya sebagai tempat berehat dan tidur bersama dua orang anak perempuannya selama seminggu sebelum kedua-duanya ditumpangkan di rumah saudara.
Menurutnya, selepas bercerai secara fasakh bersama bekas suaminya Jun lalu, dia bekerja sebagai pembantu kedai makan di Taman Merdeka bagi menyara kedua-dua anaknya sebelum dibuang kerja baru-baru ini tanpa alasan munasabah.
"Saya bercerai pada bulan Jun lepas, kemudian saya bekerja di kedai makan dan tiba-tiba diberhentikan tanpa sebab. Sejak itu saya tiada pendapatan dan terpaksa tumpangkan dan hantar anak ke rumah saudara mara.
"Saya berniat untuk memulakan perniagaan selepas berfikir tidak dapat mencari wang dengan bekerja kilang kerana memerlukan deposit tiga bulan untuk membayar sewa rumah dan perbelanjaan anak-anak," katanya.
Jelasnya, akibat kesempitan hidup, anaknya Siti Zubaidah Zubaidi, 8, pelajar Sekolah Kebangsaan Parit Melana tidak bersekolah sejak dua bulan lalu dan Siti Zulaikha, 6, terpaksa menumpang teduh di rumah saudara-mara.
Kata Siti Hajar, dia yang menjalani kehidupan berumah tangga selama lapan tahun turut mengakui seringkali menjadi mangsa penderaan suami sejak tahun kedua perkahwinan.
Ujarnya, dia semakin tertekan apabila bekas suami mengambil dua anaknya di rumah sepupu di Tanjung Minyak dengan memberi alasan mahu membawa berjalan-jalan.
Sementara itu, Pengarah Pembela Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya menerusi bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan menempatkan Siti Hajar secara sementara di asrama Balai Islam di Lorong Pandan bermula Khamis.
Menurutnya, MAIM turut menghulurkan bantuan makanan secara bulanan selain pihak Pembela mendapatkan kediaman menerusi bantuan lembaga perumahan negeri bagi memastikan keselesaan kehidupan mereka.
Siti Hajar juga akan dibantu untuk menjual kuih pau menerusi program pendapatan 1AZAM ‘Peluang perniagaan Pau Rizqi’.
-- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment