Thursday, 21 August 2014

Bagai aksi lagak ngeri filem

Anggota polis trafik membalut mayat mangsa yang maut di tempat kejadian, semalam.
Anggota polis trafik membalut mayat mangsa yang maut di tempat kejadian, semalam.

KUALA KUBU BHARU - Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 6, Jalan Batang Kali - Hulu Yam dekat Bandar Utama Batang Kali kira-kira jam 1.30 petang semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Daerah Hulu Selangor, Asistan Superintendan Mohd Taib Songoh berkata, penunggang motosikal dikenali sebagai Yusri Yusof, 41, dipercayai cuba memotong sebuah kereta, namun gagal berbuat demikian sebelum terjatuh.

“Mangsa datang dari arah Batang Kali menuju Hulu Yam dan ingin memotong sebuah kereta Perodua Kancil, namun mangsa terlanggar pintu penumpang sebelah kanan Kancil tersebut menyebabkan dia terjatuh ke kanan jalan.

“Dalam masa sama sampai sebuah lori dari arah bertentangan dan melanggar mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Katanya, kejadian disiasat di bawah Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Taib bagaimanapun berkata, kedua-dua pemandu Kancil dan lori terbabit tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, seorang pemandu van sekolah yang kebetulan melalui kawasan kejadian berkata, dia melihat motosikal mangsa terbakar dan terseret beberapa meter tanpa penunggang.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Shah, 48, berkata, kejadian itu seperti dalam aksi lagak ngeri filem kerana buat pertama kali dia melihat motosikal terbakar dalam kemalangan di depan matanya.

“Mangsa mungkin cuba elak lubang tapi terbabas di bawah lori kren hidrolik,” katanya. - Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment