Friday 25 July 2014

Majlis Presiden dan Istana senada, mahu lebih daripada satu nama


Majlis Presiden dan Istana senada, mahu lebih satu nama calon



KUALA LUMPUR: Pengumuman Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menamakan isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilihat tidak mendapat galakan daripada komponen Pakatan Rakyat (PR) lain iaitu PAS dan DAP.

Ia disifatkan keputusan pasca mesyuarat Majlis Presiden PR yang bermesyuarat pada Khamis sekadar menghormati pengumuman PKR dan pada masa sama masing-masing mengambil keputusan membincangkan hal tersebut di peringkat parti.

Menurut sumber dalaman PKR sendiri, ia berikutan PAS tidak ‎begitu senang dengan tindakan menamakan Wan Azizah oleh Anwar yang dirumuskan bersifat kekeluargaan semata-mata.

"Tambahan, PAS dikatakan berpegang kepada‎ tiga keputusan di peringkat dalaman; PAS tidak menuntut jawatan Menteri Besar, PAS tidak bersetuju dengan calon menteri besar wanita dan PKR perlu menamakan lebih daripada satu calon bagi mengisi jawatan menteri besar.

"DAP bagaimanapun bersetuju dengan mana-mana calon PKR sama ada Wan Azizah atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali untuk menggantikan Abdul Khalid," ujarnya.

Jelas sumber itu lagi, tuntutan PAS supaya PKR menamakan lebih daripada satu calon menteri besar difahamkan seiring keinginan pihak Istana yang juga berkehendakkan lebih daripada satu nama sebagai calon jawatan berkenaan.

"Istana disebut berkehendakkan beberapa nama calon sebelum Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan untuk perlantikan menteri besar‎ yang baharu.

"Ini selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 di mana Sultan Selangor telah diperuntukkan dengan kuasa budi bicara mutlak di dalam perlantikan seorang menteri besar bagi Negeri Selangor yang pada pandangan baginda mendapat kepercayaan majoriti ADUN Selangor sendiri," katanya.

Pada Khamis, Abdul Khalid berkata,beliau telah memberi jaminan kepada Sultan Selangor akan terus berkhidmat sebagai menteri besar selagi khidmatnya diperlukan.

Ujarnya, Sultan Sharafuddin Idris Shah membayangkan kepadanya bahawa baginda mahu sebuah kerajaan negeri yang boleh dipercayai, tegas dan bertanggungjawab.

Sebelum ini, nasib Wan Azizah untuk menggantikan Abdul Khalid dikatakan hanya akan ditentukan selepas Aidilfitri.

Ia bergantung kepada keputusan yang akan ditentukan oleh PAS dan DAP dalam mesyuarat pimpinan parti masing-masing selepas Aidilfitri. - Astro Awani 

No comments:

Post a Comment