NAMA pelakon kacak ini tidak perlu diperkenalkan lagi kerana penglibatannya dalam industri ini bukanlah setahun dua.
Malah sebelum ini, Zul Ariffin pernah membintangi drama bersiri adaptasi, Nora Elena dan dari karya novel, Kasih Yang Suci.
Namun, bila berbicara mengenai drama terbaharunya ini, Zul mengakui bukan mudah untuk mendapatkan keserasian bersama pelakon baharu, Ayda Jebat.
“Ini gandingan pertama saya bersama Ayda. Walaupun penggambaran drama ini berjalan lancar, namun kami berdepan dengan masalah keserasian.
“Sepanjang episod 1 hingga 7, kami berganding tanpa ada rasa chemistry. Mungkin kerana pertama kali dan perbezaan personaliti membuatkan kami sedikit kekok walaupun dia seorang yang periang di set.
“Namun, selepas menjayakan watak romantik, barulah kami lebih serasi,” katanya yang turut terbang ke Istanbul bagi memenuhi tuntutan babak.
Bertanya mengenai cabaran dalam membawakan watak Zill Faezrul, Zul mengakui terpaksa menggelapkan sedikit warna kulitnya untuk menjayakan wataknya.
“Dalam drama ini, saya adalah lelaki kampung yang bekerja sebagai juruteknik.
“Bersesuaian dengan watak itu, saya perlu menggelapkan ton kulit. Namun, ia bukanlah satu cabaran besar buat saya.
“Malah, sepanjang proses penggambaran drama ini, ia berjalan dengan lancar termasuk babak di Istanbul. Malah, cuacanya tidak terlalu panas,” katanya yang bakal bercuti panjang sehingga hujung bulan depan.
Dalam perkembangan lain, Zul memberitahu bakal terlibat dalam drama terbaharu bersama Lisa Surihani dan Keith Foo.
Pembuka langkah: Ayda Jebat
Langkah pertama pelakon baharu ini bukanlah dalam bidang lakonan, namun dia bermula di pentas Akademi Fantasia (AF9).
Namun, akur dengan perjalanan di AF9 terpaksa ditamatkan pada minggu ketiga, Nursuhada Jebat, 22, atau lebih dikenali sebagai Ayda Jebat, ini tidak menyangka rezeki dalam bidang lakonan turut berpihak kepadanya.
Menurut anak kelahiran Batu Berendam, Melaka ini, walaupun hampir dua tahun terlibat dalam dunia lakonan, namun drama bersiri, Rindu Awak 200%, dilihat sebagai pembuka langkahnya dalam industri.
“Ini adalah kali pertama saya diberi peranan untuk menerajui drama bersiri. Alhamdulillah, peluang ini tidak disia-siakan.
“Ia adalah permulaan baharu buat saya untuk menggilap bakat dengan watak yang lebih mencabar seperti Armel Aisya.
“Namun, saya tetap menganggap diri ini masih melalui proses pembelajaran di mana saya akan terus bertanya dan bertanya untuk beri yang terbaik,” katanya.
Tambah Ayda, pertama kali digandingkan bersama pelakon berbakat besar, Zul Ariffin, ia merupakan pengalaman berguna buat dirinya.
“Sejujurnya, pada awal-awal, saya takut untuk bercakap dengan Zul kerana dia seorang yang tegas dan nampak serius. Saya pula ‘gila-gila’.
“Kami juga beraksi tanpa chemistry untuk tujuh babak pertama. Namun, lama-kelamaan, ia datang tanpa disangka. Mungkin juga kerana perbezaan umur.
“Saya selesa bekerjasama dengan Zul dan dia banyak berkongsi ilmu dan memberi tunjuk ajar,” kata bekas pelajar jurusan muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini.
Pengarah puas hati
Walaupun masing-masing mengakui sukar mendapatkan kemesraan ketika babak dirakam, namun pengarahnya, Aidilfitri Mohd Yunus menafikan perkara itu.
Menurutnya, rasa kekok dan tidak serasi itulah yang dikehendaki dalam episod pertama hingga tujuh, di mana ketika itu mereka baharu sahaja dalam proses memperkenalkan diri.
"Meskipun mereka kata tidak serasi, namun bagi saya ada bibit-bibit itu seperti yang saya mahukan. Ianya dilihat sempurna di mata saya.
"Pun begitu, Ayda masih baharu dan saya lihat Zul banyak mengajar Ayda.
"Ini adalah kali kedua saya bekerjasama dengan Ayda di mana sebelum ini menerusi drama, Aku Ada Wali. Manakala Zul pula sudah tiga projek bersama saya.
"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan lakonan dan komitmen yang mereka tonjolkan dalam drama ini, malah pemilihan Ayda sebagai pelakon juga amat bersesuaian dengan watak," katanya.
Jelas Aidilfitri, memandangkan karya ini diolah dalam bentuk drama bersiri, terdapat beberapa penambahan dari segi plot dan lakon layar.
"Kami tidak banyak ubah karya asal, namun kami menambahnya sebagai rencah dan memenuhi keperluan episod bagi mencantikkan lagi jalan cerita. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment