Friday, 25 July 2014

Keluarga terbang ke Ukraine, yakin anak masih hidup

Keluarga terbang ke Ukraine, yakin anak masih hidup

SYDNEY: Waris seorang warga Australia yang merupakan mangsa nahas pesawat MH17 masih berharap anak perempuan mereka masih hidup telah terbang ke Ukraine bagi mencari anak mereka.

Fatima, anak kepada Jerzy dan Angela Dyczynski merupakan salah seorang penumpang yang berada dalam pesawat MH17 yang ditembak jatuh pada minggu lalu. Dia dalam perjalanan untuk bertemu keluarganya di Perth.

"Kami yakin dia masih hidup dan kerana itulah kami terbang ke Donetsk untuk mencarinya," menurut bapanya kepada akhbar The Australian.

Keluarga itu masih berharap Fatima, anak tunggal mereka berjaya menyelamatkan dirinya dalam nahas yang melibatkan 298 penumpang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

"Kami dalam perjalanan ke Donestsk dan akan ke lokasi nahas itu. Kami percaya dia masih hidup," katanya kepada wartawan.

"Adakah anda sudah menonton laporan CNN berkenaan telefon bimbit? Itulah sebabnya kami pergi," katanya lagi berdasarkan andaian terdapatnya beberapa waris yang cuba menghubungi ahli keluarga mereka dan panggilan tersebut dijawab oleh orang yang tidak dikenali.

Mereka tetap yakin untuk terbang ke lokasi nahas walaupun telah diberikan amaran berkenaan aspek keselamatan.

"Tidak, kami tidak bimbang," kata Angela kepada wartawan di Kiev.

Suaminya berkata dia nekad untuk mencari anak perempuannya itu.

"Tiada siapa pun bercakap mengenai penumpang yang terselamat dan pasti ada sebab tertentu. Ada bukti menunjukkan wujudnya penumpang yang terselamat."

Seramai 28 penumpang dalam pesawat malang itu merupakan warga Australia. Sementara itu, pasangan Anthony Maslin dan Marite Norris yang kehilangan tiga orang anak mereka berkata ia merupakan minggu yang penuh dugaan dan penderitaan.

"Kami tidak sanggup berdepan dengan situasi ini," katanya dalam satu kenyataan.

"Tiada sesiapa pun yang layak untuk berdepan dengan situasi sebegini." - AFP 

No comments:

Post a Comment