Thursday 3 July 2014

Dipenjara 50 bulan kerana tipu penternak lembu

Dipenjara 50 bulan kerana tipu penternak lembu - Gambar fail


KUALA LUMPUR: Seorang banduan terpaksa melupakan hasratnya untuk dibebaskan pada Januari tahun depan selepas Mahkamah Sesyen pada Khamis menjatuhkan hukuman 50 bulan penjara dan dua sebatan kerana menipu dan memalsukan cek berhubung pembelian 17 ekor lembu untuk dijadikan ibadah korban.

Hakim Mat Ghani Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Khairol Yusoff, 32, yang kini menjalani hukuman setahun di Penjara Kajang, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Bagaimanapun, tertuduh yang memakai baju lokap berwarna merah, hanya perlu menjalani hukuman penjara 30 bulan selepas mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula daripada tarikh tangkap pada 9 Dis 2013.

Mohd Khairol dihukum penjara 20 bulan dan dua sebatan kerana menipu seorang penternak lembu, Abdul Razak Md Ali, 58, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh hendak membeli 17 ekor lembu yang bernilai RM42,500.

Perbuatan tertuduh mendorong Abdul Razak menyerahkan lembu-lembu berkenaan kepadanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ladang Lembu Jalan Bakti, Kanchong Tengah, Banting, antara 23 September 2012 hingga 27 Oktober 2012, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada dua anak itu dihukum penjara 30 bulan kerana memalsukan sekeping cek CIMB Islamic Bank berjumlah RM25,000 sebagai pembayaran deposit untuk pembelian lembu-lembu berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Presint Diplomatik, Presint 15, Putrajaya, pada 10 malam, 30 September 2012, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu kepada mahkamah agar meringankan hukuman atas alasan dia perlu menjaga seorang daripada anaknya yang mengalami pendarahan dalam otak.

"Saya akan dibebaskan pada 27 Jan tahun depan atas dakwaan menipu dan saya telah mendapat pengajaran sepanjang berada di dalam penjara itu," katanya.

Bernama

No comments:

Post a Comment