Thursday, 3 July 2014

Kekasih Nora Danish terkilan

Nora Danish
Nora Danish

MEMILIKI pakej lengkap yang didamkan ramai wanita di luar sana, maka tidak hairanlah mengapa aktres seksi ini sering menjadi perhatian ramai. Apa saja yang dilakukannya, baik soal karier mahupun kehidupan peribadi pasti menjadi bualan. Malah status janda yang dipegangnya sejak enam tahun lalu, seolah-olah memanaskan lagi empunya diri yang bernama Nora Danish ini.

Merupakan antara selebriti yang aktif memuat naik status dan gambargambar peribadi di laman sosial miliknya, hubungan cintanya bersama anak menteri, Nedim Nazri, bukan lagi satu rahsia.

Di sebalik kisah cinta mereka yang 'popular' dalam kalangan peminat dan juga 'haters', pelakon Pengantin Malam ini juga tidak pernah lekang dari kontroversi dan gosip lain. Malah sejak dua minggu kebelakangan ini namanya sering menjadi sebutan.

Belum reda dengan kontroversinya yang memuat naik gambar mesra bersama Farid Kamil, sehingga mencetuskan kemarahan isteri aktor itu, Diana Danielle, timbul lagi satu isu yang melibatkannya bersama bekas suami, Jejai dan juga aktres Fasha Sandha.

Hubungannya yang masih baik dengan keluarga Jejai, membuatkan segelintir peminat cuba membanding-bandingkan aktres itu dengan Fasha.

Malah sehingga hari ini, masih ada yang menyalahkan Fasha dalam isu penceraiannya dengan Jejai dulu.

Dikurniakan seorang cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu (Putra Rayqal), Nora bagaimanapun bijak menangani apa saja isu yang datang, melibatkannya dengan Jejai, Fasha mahupun bekas keluarga mentuanya.

Memilih untuk 'berdiam' dan terus mengunci mulutnya, pelakon yang berusia 32 tahun ini amat jelas dengan pendiriannya yang tidak mahu memanjangkan lagi isu-isu tersebut bagi menjaga hati ramai pihak.

"Saya tidak mahu mengeluarkan sebarang komen sebab saya takut apa yang saya komen akan bercanggah dengan banyak perkara.

"Ia juga akan membuat benda menjadi lagi teruk, jadi lebih baik saya berdiam diri,” kata Nora yang ditemui pada majlis Pelancaran Nora Danish For Fashion Valet, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Nora Danish letak syarat untuk berlakon dengan lelaki

Hubungan cintanya bersama Nedim Nazri, bukanlah satu rahsia lagi. Sementelah mereka dilihat begitu terbuka berkongsi gambar-gambar kemesraan di alam siber.

Malah, jejaka yang sedang bertakhta di hatinya itu, juga dilihat semakin terbuka menemani Nora di acara-acara hiburan yang melibatkannya.

Umum mengetahui mereka sememangnya menjalinkan hubungan serius dan Nora pernah membawa Nedim pulang ke kampungnya di Myanmar. Malah khabar angin mengenai berita perkahwinan mereka juga pernah menjadi bualan.

Masih menjadi tanda tanya sehingga kini, Nora bagaimanapun tidak pernah menolak untuk berkahwin lagi dan sedia menerima Nedim sebagai suami jika telah tertulis jodoh mereka.

Menyifatkan Nedim sebagai jejaka yang baik hati, matang dan sangat memahaminya, Nora meluahkan rasa kesal apabila gosip dan kontroversi melibatnya turut mengguris perasaan kekasihnya itu.

“Tidak dinafikan dia (Nedim) rasa terkejut dan terkilan dengan isu yang timbul, tetapi kami ambilnya secara positif dan anggap ia sebagai satu cabaran dan dugaan.

"Masa saya belum beritahu saya ada teman lelaki, orang akan kaitkan saya bercinta dengan pelakon itu dan pelakon ini. Tapi bila sudah beritahu pun, orang masih tetap mengaitkan saya,” katanya menjawab kepada kontroversi yang melanda dirinya.

Dalam pada itu, Nora berkata, selepas ini dia akan lebih berhati-hati ketika menjalani sesi fotografi dengan mana-mana pelakon lelaki yang telah berkahwin.

Katanya, kontroversi sebelum ini (muat naik gambar mesra bersama Farid Kamil) akan dijadikan pengajaran untuknya.

“Jika suami orang, saya akan pastikan MIG keluarkan borang yang mempunyai syarat atau apa-apa yang perlu ditandatangani supaya semuanya aman dan tiada masalah berlaku,” katanya yang turut menegaskan tidak mempunyai sebarang permusuhan dengan sesiapa termasuklah Fasha Sandha.


Tolak perkara negatif

Sering menerima kritikan dan gosip liar tentang dirinya, Nora kelihatan semakin matang berhadapan dengan realiti dunia selebriti.

Namun, seperti manusia biasa yang lain, bohonglah jika empunya diri tidak lari merasa terkilan terhadap tohmahan yang dilontarkan ke atasnya.

"Walaupun saya nampak kuat, tetapi saya mudah terguris dengan perkara negatif yang dilemparkan," kata pemegang watak Puteri ini.

Menurutnya, walaupun dia dikatakan begitu aktif dalam media sosial, dia tidak mengambil tahu tentang perkara-perkara negatif tentang dirinya.

Katanya, dia lebih banyak mengetahui hal-hal seperti itu menerusi kawan-kawan dan orang lain.

"Memang saya kerap muat turun gambar menerusi Instagram dan sambungkannya terus ke Facebook dan Twitter. Tetapi saya tidak baca dan ambil tahu benda-benda negatif tentang saya," katanya.

- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment