Anak tapir yang dilahirkan di Zoo Johor bulan lalu dinamakan Khamis sempena hari kelahirannya.
Pasangan tapir yang dipelihara di Zoo Johor sejak 2005 melahirkan anak ketiga Jun lalu, selepas kelahiran anak kedua, dua tahun lalu.
Pengurus Zoo Johor, Zakaria Razali berkata, haiwan yang baru mencecah usia kurang sebulan itu dinamakan ‘Khamis’ sempena hari kelahirannya.
“Ini kali ketiga Zoo Johor menerima kelahiran anak tapir dari jenis Tapir Malaysia iaitu yang pertama sudah berusia empat tahun, manakala yang kedua usia dua tahun.
“Anak tapir diberikan jagaan khusus dan diletakkan bersama ibunya sejak dilahirkan bagi menyesuaikannya dengan persekitaran zoo,” katanya.
Menurutnya, haiwan berkenaan adalah antara keutamaan Zoo Johor kerana ia antara spesies terancam, selain merancang untuk melakukan lebih banyak pembiakan agar bilangan haiwan berkenaan bertambah.
Tambahnya, pihaknya turut menyediakan dua penjaga khas untuk menjaga dan memantau tapir yang ada di zoo tersebut.
“Setakat ini kita mempunyai lima tapir di Zoo Johor termasuk seekor yang baru dilahirkan. Seekor daripadanya yang berusia empat tahun pula diserahkan kepada Zoo Negara,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Tapir Malaysia adalah jenis tapir yang unik kerana satu-satunya spesies tapir berbelang dengan warna hitam dan putih pada badan, berbeza dengan jenis tapir lain yang biasanya hanya berwarna coklat.
Selain itu Zakaria berkata, kelahiran anak tapir itu akan menjadi salah satu daya tarikan tambahan di zoo berkenaan untuk menarik lebih ramai pengunjung.
“Selain tapir, kita juga mempunyai pelbagai jenis haiwan lain dan rusa samba merupakan antara haiwan yang sering membiak iaitu antara lima hingga 10 anak rusa dilahirkan setahun,” katanya.
- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment