Thursday, 3 July 2014

Malaysia hantar bekas pegawai dituduh lakukan serangan seksual balik ke NZ

Rizalman yang dituduh melakukan pecah rumah dan serangan seksual akan diiringi seorang pegawai kanan tentera Kementerian Pertahanan.

KUALA LUMPUR: Kerajan telah membuat keputusan untuk menghantar kembali rakyat Malaysia yang dituduh melakukan serangan seksual ke New Zealand untuk dibicarakan.

Pegawai Waren Kedua Muhammad Rizalman Ismail yang merupakan bekas Penolong Kakitangan Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington akan membantu siasatan dakwaan melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita pada Mei lepas.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini, Rizalman akan diiringi seorang pegawai kanan tentera Kementerian Pertahanan.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman juga telah memaklumkan perkara tersebut kepada rakan sejawatannya di New Zealand, Murray McCully.

“Kerajaan Malaysia berpendapat bahawa keputusan ini akan memberi peluang kepada Muhammad Rizalman untuk bekerjasama dan membantu pihak berkuasa New Zealand dalam siasatan dan dakwaan yang dikenakan ke atasnya.

“Malaysia yakin dengan sistem perundangan New Zealand dan yakin bahawa Muhammad Rizalman akan diberi layanan yang adil dan bermaruah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang,” kata kenyataan tersebut.

Rizalman sebelum ini ditahan oleh polis New Zealand pada 9 Mei 2014 dan dibawa ke mahkamah pada 10 Mei atas tuduhan cubaan merompak serta gangguan seksual ke atas seorang wanita dengan niat merogol.

Beliau bagaimanapun diberi kebenaran oleh Wellington untuk kembali ke tanah air dengan keluarganya pada 22 Mei setelah memohon kekebalan diplomatik.

Anifah semalam menyatakan bahawa kes ini akan disiasat di Malaysia tetapi kerajaan sedia mengekstradisi suspek ke New Zealand jika perlu.

Wellington juga hari ini melahirkan rasa puas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan Malaysiaberhubung siasatan.

Sumber: Media Statement @Astro Awani | Kemas kini: Julai 02, 2014

No comments:

Post a Comment