Saturday 5 April 2014

Wanita hamil diacu parang

PASIR MAS - Seorang wanita hamil tiga bulan diacukan parang dalam kejadian samun di rumahnya di sini, jam 9.30 malam kelmarin.

Mangsa, Suwanee Turengsa, 21, berkata, sebelum kejadian dia terdengar bunyi bising dari bumbung dapur ketika menonton televisyen selepas Isyak.

Menurutnya, bunyi bising itu turut menyebabkan neneknya, Kalueasong Masae, 80, yang sedang tidur di ruang tamu terjaga.

“Saya terus mengambil parang sebagai langkah berjaga-jaga dan mencapai telefon bimbit di atas katil dalam bilik untuk menghubungi adik-beradik. Namun, langkah saya terhenti apabila mendapati ada seorang lelaki berada di muka pintu.

“Dia merampas parang dari tangan saya dan mengacukannya ke leher sambil mengarahkan saya menyerahkan semua barang kemas serta wang simpanan,” katanya.

Risau dengan keselamatan diri dan nenek, Suwanee menyerahkan rantai leher, gelang tangan serta cincin.

Suspek mengarahkannya membuka pintu hadapan lalu melarikan diri ke arah belakang dengan membawa bersama dua telefon bimbit, kunci rumah, parang serta barang kemas.

Suami mangsa, Hanifah Zakaria, 41, yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, ketika kejadian dia berada di Kuala Terengganu dan bergegas pulang selepas dihubungi adiknya.

“Tiba di rumah, saya dapati bumbung zink rosak dan suspek disyaki memasuki rumah menerusi bumbung dapur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Usaha mengesan dan menangkap suspek giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment