SELEPAS Perang Dunia ketiga, beberapa serangan bom kimia dan nuklear telah menyebabkan ramai penduduk dewasa terbunuh dan yang tinggal hanyalah kanak-kanak.
Setelah anak-anak muda itu membesar tanpa bimbingan yang betul, mereka telah berpecah kepada lima puak iaitu Merah Putih diketuai X (Farid Kamil), Taring Led yang dipimpin Sri Gala (Peter Davies), Flora diketuai oleh Kulat (Zoe Tan), Teratai diketuai Melur (Vasanth) dan Jengking diketuai oleh Y (Jehan Miskin).
Mereka cuba berebut kuasa dan semua orang menyedari hanya yang kuat sahaja akan terus hidup! Nama Mamat Khalid dan filem komedi sememangnya tidak dapat dipisahkan lagi. Namun
demi mencari kelainan empat tahun lalu, Mamat mencabar dirinya untuk menghasilkan filem Apokalips X.
Bukan itu sahaja, filem yang membariskan pelakon hebat seperti Farid Kamil, Jehan Miskin, Peter Davis, Zoee Tan, Vassan, Adam AF, Iqram Dinzly, Pekin Ibrahim, Miera Leyana, dan Dazzrin Kamarudin ini menjadi filem ‘manga’ pertama di Malaysia.
Kisah berlatar masa 2047 yang diilhamkan berdasarkan populariti komik manga Jepun, Zero Crow mengambil masa sebulan penggambaran dan menelan kos RM1.5 juta. Kini, setelah empat tahun terperuk, Apokalips X akhirnya menemui penonton di pawagam bermula semalam.
Ia mengisahkan perjuangan geng-geng tersebut dalam usaha menegakkan keamanan melalui perjanjian damai walaupun wujudnya rasa dendam dan benci di antara mereka. X yang digeruni pada zaman kegemilangannya dahulu bertekad untuk tidak berperang lagi sampai bila-bila.
Tetapi perjanjian damai yang memberhentikan perang kimia dan pertempuran maut satu ketika dahulu menjadi semakin terancam apabila Aman Chai (Adam AF), pengikut utama X jatuh cinta kepada anak kesayangan Sri Gala iaitu QiQi (Miera Liyana).
Pergelutan yang tercetus akibat daripada hubungan cinta itu dan hasutan Kala menyebabkan QiQi mengalami cedera parah. Sri Gala yang meradang dengan kejadian itu bertekad mahu keluar daripada perjanjian damai yang telah termeterai bertahun lamanya.
Apabila ketegangan antara X dan Sri Gala semakin memuncak, Kala yang gila kuasa pula mengambil kesempatan dengan merancang tindakannya untuk menjatuhkan kedua-dua geng
tersebut. Filem ini turut menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) sebanyak 70 peratus.
Sarat aksi
Bukan sahaja menarik dengan CGI, anda juga akan menyaksikan perlawanan membabitkan ramai pelakon yang kadangkala nampak menyesakkan namun, tetap menimbulkan debaran buat penonton. Apatah lagi, dengan sikap mementingkan diri sendiri, perebutan kuasa dan kawasan menjadi inti pati untuk dihayati; iaitu apa yang akan terjadi sekiranya kita tidak lagi bersatu.
Lakonan mantap
Biarpun menggabungkan pelakon lama dan baharu, namun penglibatan kedua-dua kumpulan di dalam filem ini nampak saling membantu antara satu sama lain. Pada pandangan penulis, lakonan yang paling menyerlah di dalam filem ini adalah Jehan.
Dia berjaya membawakan watak antagonis yang akan turut dibenci oleh penonton dengan cukup berkesan.Bagi anda yang ingin mengetahui kesudahan filem ini dan sanggupkah Aman
Chai, QiQi dan anak-anak muda yang lain bertahan dan terus hidup?
Adakah X akan setia berpegang kepada pendiriannya untuk tidak berperang setelah bersetuju dengan perjanjian damai satu waktu dahulu? Saksikan jawapan itu apabila anda menonton Apokalips X di pawagam! - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment