Saturday, 5 April 2014

Penangan rokok daun Pok De

Penangan rokok daun Pok De
Pok De memotong daun nipah yang diletakkan pada acuan yang direka khas bagi mendapatkan saiz sesuai sebelum dijual.


KUALA TERENGGANU - Kesukaran mencari daun nipah untuk dijadikan rokok daun menyebabkan rokok tradisional itu turut mengalami kenaikan harga daripada 20 sen kepada 50 sen seikat.

Pengusaha rokok daun, Ismail Mat Zin, 75, berkata, suatu ketika dahulu, seikat rokok daun dijual pada harga 20 sen, tetapi sekarang ia sudah naik kerana kesukaran mendapatkan daun nipah terutama di kawasan bandar.

“Ini pun nasib baik ada lagi, tapi pakcik rasa lama-lama pupus juga sebab banyak sangat kawasan nipah dimusnahkan untuk pembangunan.

“Walaupun harga rokok daun naik, tapi masih dapat permintaan terutama daripada warga emas yang memang suka hisap rokok ini sejak dulu lagi,” kata Ismail atau lebih dikenal sebagai Pok De kepada Sinar Harian.

Pok De yang dahulunya bekerja sebagai pemandu beca di sekitar bandar Kuala Terengganu mengambil keputusan mengusahakan rokok daun ketika berusia 30 tahun kerana ketika itu dia mengalami sakit lutut dan sudah penat mengayuh beca sejak berusia belasan tahun lagi.

“Dulu pakcik kayuh beca, sekarang dah tua tak larat, beca pun pakcik dah jual, lebih baik duduk rumah buat rokok daun, lagipun pakcik dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM200 sebulan, cukuplah tu.

“Anak-anak pun ada juga yang tolong carikan daun nipah seminggu sekali, lepas itu pakcik suruhlah mereka hantar ke pasar dan warung sekitar sini (Kuala Terengganu) untuk dijual,” katanya.

Pok De yang mempunyai 14 anak kini menghabiskan sisa hidupnya dengan membuat rokok daun sepenuh masa, malah terdapat juga pelanggan tetap yang datang sendiri ke rumahnya untuk membeli rokok berkenaan.

Memperoleh pendapatan kira-kira RM120 sebulan hasil menjual rokok daun sudah cukup bagi warga emas itu yang kini tinggal bersama anak-anaknya di Kampung Gong Baru, Gong Tok Nasek.

Berkongsi cara membuat rokok daun, Pok De berkata, proses menjemur paling sukar kerana memerlukan cuaca panas, tetapi sekiranya musim tengkujuh, Pok De menjemur daun nipah di belakang peti sejuk.

“Kalau panas terik, dalam masa dua jam daun ini (nipah) dah boleh kering sebelum dipotong. Sekiranya musim hujan, pakcik letak sahaja di belakang peti sejuk, tapi lebih dua jam juga kena tunggu baru kering.

“Selepas dijemur kering, pakcik kena buang lapisan daun yang keras sebab lapisan dalam sahaja boleh guna sebelum dipotong guna acuan khas yang dihasilkan sendiri. Lepas potong daun nipah ini ikut saiz, pakcik akan asingkan sebelum dijual dengan harga 50 sen seikat,” katanya.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment