Wednesday, 30 April 2014

Rakaman terakhir diperdengar buat pertama kali kepada keluarga warga China


KUALA LUMPUR: Selepas lebih 50 hari sejak kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370, rakaman suara dari perbualan terakhir di antara pesawat dan pusat kawalan udara dimainkan kepada ahli keluarga warga China pada Selasa.

Rakaman antara lain memaparkan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur berkata “Malaysia tiga tujuh kosong hubungi Ho Chi Min 120.9 selamat malam.”

Ini disusuli dengan suara seorang lelaki, dipercayai kru lelaki pesawat, yang menjawab “selamat malam Malaysia tiga tujuh kosong.”

Lapor agensi berita CNN, pihak berkuasa Malaysia yang menyiarkan rakaman suara terbabit di sidang taklimat bersama ahli keluarga penumpang warga China turut menyiarkan kronologi lokasi pesawat pada kali terakhir ia dikesan stesen radar, selain berkongsi maklumat satelit mengelilingi Lautan Hindi.

Seorang pegawai Penerbangan Malaysia, Sayid Ruzaimi Syed Aris berkata pada 2.03 pagi waktu tempatan, pihak operasi MAS telah menghantar isyarat kepada kokpit, mengarahkan juruterbang untuk menghubungi menara kawalan di Vietnam tetapi tiada sebarang reaksi dari pesawat.

Sayid berkata, pihak Tentera Udara Diraja Malaysia telah mengesan pesawat MH370 pada radarnya pada 2.22 pagi waktu dimana pesawat telah mengubah haluan menuju ke Selat Melaka.

Pada 7.13 pagi, pihak MAS telah cuba menghubungi pesawat namun panggilan tidak dijawab.

Seorang wakil MAS, Subas Chandran memaklumkan kepada ahli keluarga warga China bahawa berdasarkan perkiraan, pesawat terbabit kehabisan minyak pada 8.12 pagi.

Pihak berkuasa juga turut menyiarkan beberapa paparan “handshakes” di antara MH370 dengan satelit Inmarsat di Lautan Hindi.

“Handshake keenam dan yang terakhir berlaku pada 8.11 pagi waktu Malaysia. Menurut data Inmarsat, pesawat MH370 telah jauh menuju ke selatan dan tidak mengikut laluan asalnya iaitu menuju ke Beijing,” lapor CNN.

Pesawat MH370 yang sedang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi, pada 8 Mac lalu.

- Astro Awani 

No comments:

Post a Comment