Wednesday 30 April 2014

Perhimpunan haram bantah GST akan diadakan di Jalan Raja

Jurucakap jawatankuasa perhimpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan S. Arutchelvan.


KUALA LUMPUR: Perhimpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang telah dilabelkan sebagai haram oleh pihak polis, akan diadakan di Jalan Raja dan bukannya di padang Dataran Merdeka seperti yang dirancang sebelum ini.

Jurucakap jawatankuasa perhimpunan itu, S. Arutchelvan berkata ini adalah kerana padang itu ditutup untuk proses menaik taraf padang, seperti yang diberitahu oleh pihak polis sebelum ini.

“Kami telah mengadakan pertemuan dengan pihak polis pagi ini dan memberitahu mereka bahawa kami akan berkumpul di Jalan Raja kerana kita mahu berbuat demikian di sekitar Dataran Merdeka.

“Pihak polis telah bersetuju dengan langkah ini dan mereka berkata asalkan perhimpunan itu tidak dilakukan di padang Dataran Merdeka, tiada masalah,” katanya kepada Astro AWANI.

Arutchelvan berkata pihak penganjur perhimpunan itu telah menolak tawaran Stadium Merdeka dan Padang Merbok oleh polis sebagai lokasi alternatif kerana Dataran Merdeka dan lokasi disekitarnya mempunyai kepentingan sejarah.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad telah berkata perhimpunan itu haram kerana penganjur perhimpunan itu telah mengemukakan notis 10 hari untuk mengadakan perhimpunan tersebut, tetapi gagal untuk mendapatkan kebenaran untuk menggunakan Dataran Merdeka.

Perhimpunan yang dirancang pada 1 Mei itu, bertujuan bagi membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Pihak penganjur bercadang untuk berkumpul di KLCC kira-kira pada pukul 2 petang, sebelum menamatkan perhimpunan itu di Jalan Raja.

- Astro Awani 

No comments:

Post a Comment