Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. --Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia akan bekerjasama dengan rakan antarabangsanya untuk menilai kredibiliti laporan yang mendakwa penemuan serpihan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 di Teluk Benggala semalam.
“Selaras dengan pendirian konsisten Malaysia yang akan mengesahkan sebarang penemuan baru sejak hari pertama operasi mencari pesawat MH370, kita sedar akan laporan penemuan serpihan di Teluk Benggala tersebut. China dan Australia turut maklum dengan laporan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, usaha mencari pesawat Boeing 777-200ER yang masih belum membuahkan hasil itu menunjukkan betapa operasi tersebut amat kompleks dan sukar.
“Malaysia akan berbincang dengan rakan antarabangsanya termasuk Australia, bagaimanakah cara operasi mencari baharu ini, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Australia Tony Abbott akan dijalankan.
Perbincangan ini akan merangkumi isu seperti kerahan asset yang mempunyai daya cari laut dalam, kos operasi dan medium terbaik pihak berkuasa dalam memastikan ahli keluarga penumpang pesawat malang itu diberikan maklumat terkini perkembangan operasi pencarian,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Kok Soo Chon telah dilantik sebagai Ketua Penyiasat bagi Pasukan Penyiasat Antarabangsa.
Pasukan terbabit disertai beberapa wakil dari Amerika Syarikat, United Kingdom, China, Perancis, Australia, Singapura, Indonesia dan juga dari Boeing, Rolls Royce dan Inmarsat.
Pasukan itu akan menilai, menyiasat dan menentukan punca sebenar insiden tersebut agar insiden yang serupa tidak berulang di masa hadapan.
“Saya ingin menegaskan bahawa siasatan ini bukan untuk meletakkan kesalahan atau liabiliti insiden tersebut kepada mana-mana pihak.
Pembentukan pasukan penyiasat bebas ini penting untuk kerajaan dan bukan sekadar untuk memastikan sisasatan secara telus dan teliti tetapi juga boleh dipercayai,” tambah Hishammuddin.
Astro Awani
No comments:
Post a Comment