Monday 10 March 2014

Tompokan minyak tidak mungkin daripada MH370, kata jurutera marin

Tompokan minyak yang ditemui di Laut China Selatan. --Gambar fail


KUALA LUMPUR: Tompokan minyak yang ditemui di Laut China Selatan yang dipercayai ada kaitan dengan kehilangan pesawat MH370 tidak mungkin minyak yang digunakan oleh pesawat penerbangan tetapi "100 peratus pasti" minyak daripada sumber yang lain.

Seorang jurutera marin yang enggan identitinya didedahkan memberitahu Astro AWANI, sepanjang pengalamannya beliau sudah banyak kali melihat tompokan minyak seperti itu.

"Biarpun saya tidak 100 peratus pasti tompokan itu daripada kapal tangki minyak, saya 100 peratus pasti ia bukan minyak kapal terbang," kata sumber itu yang berpengalaman 50 tahun dalam operasi perkapalan dan pernah berkhidmat di kapal tangki.

Katanya, tompokan minyak seperti itu adalah sesuatu yang lazim ketika peraturan dan undang-undang mengenai pencemaran laut tidak begitu ketat berbanding sekarang.

"Peraturan itu bagaimanapun membenarkan pembuangan minyak penerbangan terus ke laut ketika kecemasan kerana sifatnya yang tidak kekal dan tidak memerlukan pembersihan," katanya.

Beliau merujuk kepada tumpahan minyak daripada kapal tangki seperti insiden Exxon Valdez di perairan Amerika Syarikat pada 1989 yang merupakan insiden terbesar sehinggalah tumpahan minyak BP di Teluk Mexico pada 2010.

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) pada Ahad mengesahkan penemuan tompokan minyak kira-kira 20 batu nautikal ke arah selatan kawasan terakhir pesawat MH370 diketahui berada sebelum ia hilang.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dalam sidang media pada Isnin berkata contoh minyak yang diambil dari lokasi itu sedang diuji oleh Jabatan Kimia.

Pihak berkuasa Vietnam pada Sabtu melaporkan pesawat pencarinya mengesan dua tompokan minyak tetapi tidak dapat mengesahkan ia ada kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang.

Pakar itu menawarkan pandangannya kepada Astro AWANI kerana tidak mahu usaha mengesan MH370 terpesong tumpuan kepada "tumpahan minyak yang mungkin bukan daripada sebuah pesawat" dan tidak mahu orang ramai terkeliru.

Sementara itu, seorang lagi kapten kapal tangki minyak mengesahkan padangan jurutera marin itu.

Beliau yang berpengalaman 31 tahun dalam bidang perkapalan berkata, minyak daripada pesawat terbang hanya akan membentuk lapisan berkilat di permukaan air sebelum menyejat hanya beberapa jam selepas terdedah kepada udara.

"Ia tidak berubah warna seperti yang dipercayai oleh orang ramai," katanya.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment